Hannah (lapan dari kiri) bersama skuad boling lelaki dan wanita pada majlis penyampaian insentif di Putrajaya pada Khamis.
PEMAIN sensasi boling negara, Natasha Mohamed Roslan muncul penerima terbanyak insentif khas sebanyak RM25,000 daripada jumlah keseluruhan RM90,000 selepas mengungguli Kejohanan Piala Dunia di Hong Kong awal bulan ini.
Selain meraih kejuaraan dalam kategori individu pemain berusia 29 tahun itu turut bergelar naib juara acara berpasukan wanita.
Natasha bersama tiga lagi pemain Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Gillian Lim meraih insentif RM20,000.
Skuad lelaki yang dibarisi Muhamad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam dan Timmy Tan juga tidak menghampakan apabila meraih gelaran dalam acara berpasukan lelaki.
Kejuaraan tersebut membolehkan mereka menerima RM40,000.
Malah Rafiq yang turut cemerlang bergelar naib juara acara individu lelaki meraih habuan RM10,000.
Insentif berkenaan merupakan pengiktirafan kepada pencapaian mereka biarpun Piala Dunia pada awalnya tidak disenaraikan oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) untuk Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Penyampaian insentif khas itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Putrajaya pada Khamis.
Sebagai rekod, Natasha menamatkan kemarau 53 tahun menjadi atlet wanita pertama negara merangkul kejuaraan Kejohanan Piala Dunia IBF berkenaan.
Pencapaian itu melengkapkan koleksi kejuaraan Natasha yang pernah muncul juara individu wanita pada Kejohanan Boling Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait dan juara berpasukan dunia pada kejohanan di Las Vegas, Amerika Syarikat pada 2017.