DUN Sarawak: Susun atur tempat duduk parti pembangkang PSB tidak berubah

DUN Sarawak: Susun atur tempat duduk parti pembangkang PSB tidak berubah

KUCHING: Kedudukan susun atur kerusi Parti Sarawak Bersatu (PSB) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tetap kekal di kerusi pembangkang dalam pada waktu ini, kata Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar.

Beliau berkata, tiada pemakluman dan perbincangan dari pihak kerajaan untuk mengatur kerusi ahli pembangkang PSB yang dijadualkan bersidang pada November kelak.

“Meskipun PSB akan bergabung dengan Parti Demokratik Progresif (PDP), tidak ada sebarang gabungan pengiktirafan dimaklumkan.

“Kini ia bergantung sama ada penggabungan itu diiktiraf dan dibenarkan oleh GPS yang memerintah, jika ia tidak dibenarkan maka status quo kekal.

“Jika ia dibenarkan dan mereka semua (ADUN PSB) diambil sebagai ahli GPS maka saya perlu menyemak susunan tempat duduk mereka,” katanya ketika ditanya media berhubung status susun atur kerusi bagi parti pembangkang PSB dan komponen parti GPS iaitu PSB.

Pada Ogos baru-baru ini, Parti Progresif Demokratik (PDP) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dijangka mewujudkan gabungan kedua parti Disember ini, kata Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing.

Jelas beliau, kedua-dua parti itu perlu mencari jalan yang ideal terlebih dahulu bagi mewujudkan kerjasama untuk bergabung.

Bagaimanapun, Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg sekali lagi menegaskan gabungan jalinan kerjasama antara komponen parti Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu – Parti Progresif Demokratik (PDP) dan parti pembangkang Sarawak – Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak ada kaitan dengan Gabungan Parti Sarawak.

Malah Abang Johari berkata belum ada stuktur kepada jalinan kerjasama kedua parti PDP dan PSB berkenaan.

“Pendirian PBB serupa dengan GPS. Seperti mana yang saya sudah umumkan bahawa kerjasama PDP dan PSB itu terpulang kepada mereka.

“Tetapi saya tegaskan PSB bukan ahli GPS, dan apa sahaja jalinan kerjasama terpulang kepada mereka kerana struktur gabungan bagi keduanya belum ada,” jelasnya.

Julai lalu, PSB yang merupakan parti pembangkang Sarawak mengumumkan sokongan terhadap pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak.

Sokongan tersebut membawa PSB dan PDP menandatangani satu perjanjian persefahaman di Kuala Lumpur bagi membentuk kerjasama, pada masa yang sama bertujuan untuk menggabungkan kedua-dua parti tersebut.

Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, pilihan mereka untuk menyokong kepemimpinan semasa Kerajaan Persekutuan dan Sarawak adalah bagi memastikan kestabilan dan perpaduan negara. –UTUSAN