DUN Kedah: Tunggakan gaji bola sepak, Exco Sukan kemuka kenyataan kerajaan Perak

DUN Kedah: Tunggakan gaji bola sepak, Exco Sukan kemuka kenyataan kerajaan Perak

ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Kedah, Radhi Mat Din mengemukakan kenyataan kerajaan Perak ketika ditanya situasi menimpa pasukan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Radhi (PN-Alor Mengkudu) yang juga bekas pemain bola sepak kebangsaan berkata, isu berkaitan gaji termasuk tunggakan adalah di bawah tanggungjawab pemilik yang menguruskan KDA.

Menurutnya, soal pembahagian kedudukan antara KDA dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sudah lama diterangkan setelah pasukan itu diswastakan.

“Isu KDA seperti dimaklumkan sebelum ini, sesi (DUN) lepas pun saya dah cakap tentang suasana atau kedudukan antara KDA dan kerajaan negeri tetapi soalan ini sentiasa dibangkitkan, jadi saya lampirkan di sini kenyataan kerajaan Perak.

“Pertamanya pada 1 April 2022, Menteri Besar Perak menjelaskan kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya melunaskan tunggakan gaji Perak FC.

“Terbaru pada semalam, Exco Sukan negeri Perak menyatakan gaji Perak FC bukan di bawah kerajaan negeri. Jadi bukan satu kehairanan untuk pembangkang kerana semua dasar ini difahami sepenuhnya di semua peringkat, tiada perkara pelik,” katanya pada sesi penggulungan DUN Kedah hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Loh Wei Chai (PH-Bakar Arang) iaitu sama ada kerajaan negeri mempunyai pelan kecemasan bagi menangani isu menimpa KDA yang memiliki tempoh sehingga 30 April ini untuk menyelesaikan tunggakan RM7 juta agar tidak disingkirkan MFL.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, segala urusan operasi dan pengurusan Perak FC adalah di bawah syarikat telekomunikasi XOX selaku pemilik pasukan, bukannya kerajaan negeri.

Tambah Radhi, meskipun kerajaan negeri tidak lagi terikat dengan KDA namun pihaknya melalui KFA sentiasa membantu pasukan itu termasuk membayar tunggakan caruman KWSP sebanyak RM200,000 sebulan bagi membolehkan KDA terus bersaing dalam Liga Malaysia.

“Jadi tak timbul kalau kata kerajaan negeri tak bantu, saya menafikan perkara itu kerana kita sentiasa peka dan sentiasa beri bantuan secara tidak formal kepada KDA seperti penyediaan infrastruktur untuk latihan dan kemudahan perlawanan.

“Pengurusan KDA pun tidak berjumpa dengan kita untuk terangkan keadaan semasa sebab saya dapat maklumat dalam tempoh terdekat ini ada pihak yang cuba membantu KDA tapi itu urusan mereka,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top