SEGALA bermula dengan gurauan dalam kereta kerana kesukaran untuk mencari pakaian sempena majlis makan malam yang dianjurkan syarikat kira-kira empat tahun lalu.
Mengimbau kembali peristiwa yang berlaku, tiga wanita yang bekerja dalam satu syarikat itu mengeluh apabila mereka menghadapi kepayahan untuk mendapatkan pakaian sesuai bagi menghadiri majlis tersebut.
Salah seorang daripada mereka berseloroh mengatakan mereka patut membuka kedai menyewa pakaian sendiri kerana kesukaran mencari kedai yang menawarkan perkhidmatan tersebut di Shah Alam, Selangor.
Kesukaran untuk mencari pakaian sempena majlis makan malam yang dianjurkan syarikat memberi idea kepada ketiga-tiga wanita ini untuk membuka kedai menyewa pakaian.
Menurut Nurulazira Md Sukimin, 32, pada awalnya mereka sekadar borak-borak santai di dalam kereta mengenai idea tersebut.
“Merata tempat kami pergi untuk cari pakaian tetapi sangat susah pada waktu itu.
“Jadi semasa berborak dalam kereta, terkeluar idea untuk buka kedai sendiri dan kami sambung perbualan mengenai idea ini di pejabat,” katanya kepada Bisnes Sinar.
Pada mulanya, mereka agak ragu kerana bidang fesyen yang bakal diceburi itu sangat asing dengan latar belakang pendidikan dan pengalaman yang dimiliki.
Namun akhirnya impian mereka menjadi kenyataan apabila Nurulazira bersama dengan Munirah Ahmad Bahtiar, 31, dan Nur Fatin Hafizah Mohd Sakuri, 31, berjaya membuka perniagaan tersebut pada tahun 2021 dengan menggunakan nama Gobok Gojes Empire.
Ruang dalam Gobok Gojes yang mempunyai pelbagai pakaian menarik.
Uniknya, ketiga-tiga wanita tersebut mempunyai pendidikan dalam bidang perakaunan. Nurulazira merupakan bekas pelajar di Politeknik Merlimau, Munirah Ahmad (Kolej Profesional Mara) dan Nur Fatin Hafizah (Universiti Teknologi Mara).
Pada mulanya, mereka membuat keputusan memulakan perniagaan tersebut dari rumah dengan hanya 10 helai pakaian dan bermodalkan RM500 saja.
Bagaimanapun, ketika itu mereka masih lagi meneruskan kerjaya mereka seperti biasa dan hanya berniaga pada jam 8 hingga 10 malam.
“Pada awalnya pelanggan yang datang pun terkejut kerana hanya ada 10 helai saja baju, tetapi selepas itu jumlah pelanggan semakin ramai menyebabkan kami ambil keputusan menyewa sebuah ruang yang lebih luas,” katanya.
Namun, ibarat kata pepatah, panas tidak sampai ke petang tetapi hujan turun di tengah hari, mereka berdepan ujian apabila diminta keluar dari ruang sewaan itu dalam tempoh 12 jam oleh pemilik kedai.
“Waktu itu kami termenung di tempat letak kereta mengenangkan cabaran yang berlaku, tetapi kami tidak putus asa dan anggap ini hanyalah ujian kecil.
“Alhamdulillah, kami berjaya dapat premis baru dalam tempoh sangat singkat,” ujarnya.
Dari kiri: Nur Fatin Hafizah, Nurulazira dan Munirah sentiasa menekankan tentang perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan di Gobok Gojes yang terletak di Seksyen 9, Shah Alam.
Kini mereka boleh berbangga dengan hasil kejayaan yang dicapai apabila perniagaan tersebut semakin berkembang selepas berpindah ke premis baharu di Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.
“Pakaian yang kami sediakan bermula dari harga yang rendah tetapi berkualiti tinggi. Ini kerana kami anggap perniagaan yang kami lakukan ini sambil beramal.
“Yang penting bagi kami ialah pelanggan mendapat kepuasan dengan perkhidmatan yang kami tawarkan,” katanya.
Pernah baju tidak dipulangkan
Nurulazira berkata, pelanggan yang datang kebanyakannya untuk menyewa pakaian bagi majlis makan malam, majlis perkahwinan, acara, photoshoot, model dan untuk drama atau filem.
“Malah pelanggan kami bukan sahaja datang terus ke kedai tetapi ada juga permintaan dari luar Shah Alam. Kami akan pos pakaian yang ingin disewakan kepada mereka.
“Kami ada menerima pelanggan dari Pantai Timur kerana di situ tidak banyak tempat mempunyai perkhidmatan seperti yang kami tawarkan,” kata Nurulazira.
Ditanya mengenai pengalaman sepanjang menjalankan perniagaan tersebut, beliau berkata, kes-kes baju rosak dan tidak dipulangkan adalah perkara biasa dan pernah sampai terpaksa membuat laporan polis.
“Disebabkan kami mengenakan bayaran deposit dan pelanggan juga perlu membuat pulangan pakaian dalam tempoh yang ditetapkan atau mereka dikenakan bayaran tambahan.
“Jadi, seorang pelanggan ini telah mengambil baju kami selama satu bulan sehingga jumlah bayaran dikenakan sangat tinggi dan dia tidak mahu pulangkan pakaian yang disewa itu. Akhirnya pihak kami terpaksa membuat laporan polis.
“Tetapi ada juga kisah yang menggembirakan kami, apabila pelanggan cuma sewa RM80 saja tetapi berjaya menang pakaian tercantik dan mendapat wang tunai sebanyak RM5,000,” cerita beliau.
Dalam pada itu, Nurulazira berkata, mereka berharap dapat menambah lebih banyak cawangan pada masa depan dan mempelbagaikan tema-tema pakaian mengikut permintaan pelanggan.