am@hmetro.com.my
Pasir Gudang: Suri rumah berputih mata selepas wang simpanan lebih RM700,000 lebur akibat terpedaya dengan sindiket pelaburan mata wang digital bitcoin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintenda Dr Mohd Roslan Mohd Tahir berkata, mangsa berminat dengan tawaran pelaburan terbabit selepas melihat iklan di Facebook pada Ogos lalu.
Menurutnya, wanita berusia 47 tahun itu menekan pautan pada iklan terbabit sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan pelaburan VIP secara atas talian.
“Mangsa diberi penerangan oleh beberapa individu mengenai pelaburan mata wang digital bitcoin dan turut dijanjikan pulangan lumayan dalam tempoh sebulan sebelum memuat turun aplikasi pelaburan itu.
“Tertarik dengan tawaran pulangan lumayan, mangsa melakukan 12 transaksi ke tujuh akaun bank berbeza yang keseluruhan berjumlah RM896,813 dari 29 Oktober hingga 18 November lalu.
“Mangsa dapat melihat keuntungan berjumlah USDT185,838 di dalam aplikasi pelaburan dan mahu membuat pengeluaran keuntungan, namun hanya dibayar RM144,415,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, bagi pengeluaran seterusnya, mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran lagi daripada satu peratus daripada keuntungan.
Katanya, mangsa membuat laporan polis, semalam selepas mengesyaki dirinya ditipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 424 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd