Duit RM420,000 sudah bayar, kerja buat rumah tak siap – Chef Wan

Duit RM420,000 sudah bayar, kerja buat rumah tak siap – Chef Wan

KUALA LUMPUR – Chef selebriti Datuk Redzuan Ismail mendedahkan dia menjadi mangsa penipuan seorang kontraktor yang diberi tanggungjawab melakukan kerja ubah suai kediaman Allahyarham ibunya di Raub, Pahang.

Mesra disapa Chef Wan, dia berkata tidak dapat lagi menahan sabar apabila kerja-kerja pengubahsuaian yang sepatutnya siap Mei lalu terbengkalai sehingga ke hari ini.

“Bila proses ubah suai bermula pada Februari, kontraktor ini janji untuk siapkan rumah arwah ibu saya selewatnya sehingga Mei. Sekarang dah terlebih dua bulan dan sampai sekarang tak siap, saya bagi lagi masa sampai 31 Julai ini.

“Tapi alangkah terkejutnya saya selepas dua minggu saya datang semula, masih tiada progres!,” katanya meluahkan rasa kecewa menerusi hantaran di Instagram miliknya hari ini.

Chef Wan, 66, memberitahu, kontraktor yang dilantik masih meminta wang tambahan bagi menyiapkan kerja-kerja ubah suai walaupun telah membayar 80 peratus kos projek berkenaan.

Foto IG Chef Wan.

Bapa tunggal itu turut mempertikaikan ke mana wang sebanyak RM420,000 yang dibayar malah membeli sendiri barang-barang untuk diganti dalam rumah tersebut.

“Saya tidak akan bayar apa-apa selagi kerja belum siap. Sinki, tandas, jubin lantai, pintu serta kelengkapan lain pun dia tidak siapkan padahal saya sudah belikan semua.

“Apa yang dia buat dengan duit yang saya bagi selama ini? Tiada satu pun kerja yang siap,” jelasnya.

Sementara itu, Chef Wan turut meluahkan rasa kecewa dengan hasil kerja kontraktor tempatan meskipun niatnya memilih individu tersebut atas dasar ihsan untuk membantu.

“Benci betul, kita selalu nak tolong bangsa sendiri bagi rezeki tapi mereka buat kerja tak ikut kontrak pula. Duit hendak tapi kerja semua separuh jalan dan mengecewakan, semua ini janji-janji manis!” ujarnya. – MalaysiaGazette