Dua wakil negara raih slot suku akhir di Thailand

Dua wakil negara raih slot suku akhir di Thailand

Jun Hao, Tze Yong – Foto Badminton Photo

DUA pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao mara ke suku akhir Terbuka Thailand selepas menundukkan lawan masing-masing di Bangkok pada Khamis.

Tze Yong mengejutkan pilihan utama yang juga pemain ketujuh dunia, Chou Tien Chen dari Taiwan menerusi kemenangan straight set dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamak, Bangkok.

Pemain berusia 23 tahun itu mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan 17-20 untuk melakar kemenangan 23-21.

Bagaimanapun, ‘drama’ berbeza terjadi pada set kedua ketika mendahului 20-18, Tze Yong memberi peluang lawan bangkit untuk mengikat mata kepada 20-20.

Pemenang pingat emas acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel 2022 itu bagaimanapun tenang mengawal tekanan untuk merakam kemenangan 23-21 dalam aksi yang berlangsung selama 59 minit itu.

Dalam pada itu, Jun Hao mengesahkan tiket ke suku akhir setelah menewaskan pemain Perancis, Christo Popov dalam aksi tiga set yang berlangsung selama 76 minit.

Jun Hao tewas pada set pertama 20-22, sebelum bangkit melakar kemenangan 21-13 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi berlangsung dengan sengit, namun pemain di ranking ke-65 dunia itu menamatkan aksi menerusi kemenangan 21-19.

Scroll to Top