Dua suspek dikesan tinggalkan bayi di surau

Dua suspek dikesan tinggalkan bayi di surau

am@hmetro.com.my

Nilai: Dua individu dikesan terbabit dalam kejadian meninggalkan bayi di sebuah surau di Nilai 3, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dua individu itu meninggalkan bayi berkenaan pada jam 7.30 malam.

“Polis sudah melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian dan mendapati surau itu mempunyai CCTV.

“Hasil semakan rakaman, kami mengesan seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai suspek meninggalkan bayi itu.

“Bagaimanapun rakaman berkenaan tidak jelas menunjukkan muka suspek, jadi ia menyukarkan pihak kami mengesan mereka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Namun, beliau berkata, usaha untuk mengenal pasti suspek masih dijalankan.

“Berdasarkan rakaman itu, kedua-dua suspek meninggal bayi sebelum beredar menggunakan sebuah kenderaan yang belum dikenal pasti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bayi lelaki dianggarkan berusia dua minggu ditemui orang awam di atas sofa di sebuah surau di Nilai 3.

Difahamkan, bayi yang diselimut dengan kain dan diletakkan di dalam beg plastik berwarna merah itu berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd