Dua rangkai kunci kereta, dompet disahkan milik Nur Farah Kartini – Hussein

Dua rangkai kunci kereta, dompet disahkan milik Nur Farah Kartini – Hussein

SEPANG –  Polis mengesahkan dua rangkai kunci kereta dan dompet mengandungi MyKad yang ditemui di Sungai Trolak, Kampung Batu 4, Perak, semalam adalah milik Nur Farah Kartini Abdullah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pencarian berkenaan telah dilakukan oleh Pasukan Forensik Unit Selam Bukit Aman.

“Pasukan telah menemui dua rangka kunci kereta dan satu dompet mengandungi MyKad mangsa. Kedua-dua barang kes ini dipercayai berkaitan dengan kes pembunuhan yang sedang disiasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu beliau membeitahu, suspek yang berusia 26 tahun telah disambung reman selama tujuh hari sehingga 29 Julai depan selepas reman pertama selama tujuh hari tamat semalam.

Pada 17 Julai lalu, telefon bimbit dan dompet dipercayai milik Nur Farah Kartini ditemukan dalam operasi pencarian bahan bukti yang dijalankan di Kampung Sri Kledang dan Kampung Batu 4, Trolak, Perak.

Beg tangan terbabit ditemukan kira-kira 26 kilometer dari lokasi penemuan mayat bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lepas, selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan dan mayatnya dijumpai kira-kira 6 petang pada 15 Julai. – MalaysiaGazette