Dua pengarah syarikat, kerani direman, disyaki terbabit sindiket rasuah kewarganegaraan

Dua pengarah syarikat, kerani direman, disyaki terbabit sindiket rasuah kewarganegaraan

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua pengarah syarikat dan seorang kerani ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket memberi rasuah kepada pegawai kerajaan bagi mempercepatkan proses permohonan taraf kewarganegaraan.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek lelaki ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, kira-kira jam 1 tengah hari hingga 1.30 tengah hari, hari ini.

Tangkapan terhadap tiga suspek menerusi Op Fastlane ini adalah susulan Op Outlander yang dijalankan pada 11 Mac lalu membabitkan sindiket yang merasuah pegawai jabatan kerajaan bagi mempercepatkan proses permohonan taraf kewarganegaraan.

Mereka dipercayai membayar rasuah antara RM5,000 hingga mencecah RM150,000 bagi satu permohonan, katanya, hari ini.

Sumber sama berkata, kerani berusia 20-an direman selama empat hari, manakala dua pengarah syarikat berusia lingkungan 30-an direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharuddin, ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top