Dua pelajar Unimap terima tajaan jalankan pengujian bahan geopolimer di SLRI

Dua pelajar Unimap terima tajaan jalankan pengujian bahan geopolimer di SLRI

KANGAR: Dua pelajar pascadoktoral Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menerima tajaan bagi menjalankan pengujian bahan geopolimer di Synchrotron Light Research Institute (SLRI), Thailand.

Tajaan yang diterima oleh Dr. Rosnita Mohamed, 30, dan Dr. Pilomeena Akiosamy, 29, itu membolehkan mereka menggunakan fasiliti canggih di SLRI bagi kajian lanjut dalam bidang kejuruteraan bahan.

Menurut Rosnita, akses kepada teknologi di SLRI membuka peluang besar buat mereka untuk mendapatkan data yang lebih tepat mengenai bahan geopolimer.

“Teknik hentaman elektron di SLRI membolehkan kami mengkaji perubahan mikro struktur bahan geopolimer dengan lebih teliti dan paling penting dalam memastikan ketahanan serta keupayaan bahan ini untuk kegunaan industri,” katanya.

Untuk rekod, SLRI adalah sebuah organisasi awam di bawah Kementerian Sains dan Teknologi Thailand yang memainkan peranan penting dalam penyelidikan menggunakan sumber cahaya synchrotron.

Institusi ini mengendalikan Siam Photon Source (SPS) yang membolehkan saintis menjalankan pelbagai eksperimen berasaskan cahaya synchrotron, termasuk analisis bahan melalui teknik hentaman elektron.

Kajian yang dilaksanakan itu diketuai oleh Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Kimia (FKTK) Unimap bersama dua saintis SLRI, Dr. Waraporn Tanthanuch dan Dr. Catleya Rojviriya.

Sementara itu, Pilomeena berkata, tajaan yang diterima itu telah memberi kelebihan kepada penyelidik Unimap khususnya dalam memperluaskan lagi kerjasama antarabangsa selaras dengan hasrat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu.

“Kemudahan di SLRI membolehkan kami melakukan pengujian dengan teknologi terkini, sekali gus meningkatkan kualiti penyelidikan dan penerbitan akademik Unimap di peringkat global.

“Dalam masa sama, tajaan ini juga sejajar dengan hasrat Unimap bagi memperkukuhkan bidang penyelidikan kejuruteraan bahan serta memperluaskan jaringan kolaborasi antarabangsa dalam bidang sains dan teknologi,” katanya. -UTUSAN

Scroll to Top