Good Class Bungalows merupakan kawasan kejiranan paling eksklusif di Singapura. Foto Agensi
SINGAPURA – Dua menteri di Singapura akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg berhubung laporan fitnah mengenai pembelian hartanah eksklusif di negara bandar tersebut.
Laporan bertajuk Singapore Mansion Deals Are Increasingly Shrouded in Secrecy pada 12 Disember itu mendakwa kebanyakan pembelian rumah kelas atas digelar sebagai Good Class Bungalows tidak mempunyai pemfailan yang sah dan menyebabkan urus niaga sedemikian sukar dikesan.
Bloomberg juga membuat dakwaan Menteri Dalam Negeri, K Shanmugam telah menjual salah sebuah rumah agam tersebut kepada Pemegang Amanah UBS manakala Menteri Tenaga Kerja, Tan See Leng membeli sebuah banglo berkenaan.
Kedua-duanya mengambil serius tuduhan tidak berasas sedemikian.
“Kami akan mengeluarkan Surat Tuntutan terhadap penerbitan artikel tersebut,” ujar Shanmugam dan See Leng menerusi kenyataan berasingan di Facebook.
Pada tahun lalu, Shanmugam bersama Menteri Luar, Vivian Balakrishnan pernah meraih perhatian kerana menyewa banglo mewah, namun siasatan dijalankan mendapati mereka ‘bersih’ daripada sebarang salah laku serta tidak menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan perjanjian sewa berkenaan. – Agensi