Dua maut pacuan empat roda bertembung treler

Dua maut pacuan empat roda bertembung treler

am@hmetro.com.my

Temerloh: Dua maut, manakala enam yang lain cedera termasuk seorang kanak-kanak apabila sebuah pacuan empat roda bertembung dengan treler di Kilometer 145, Jalan Kuala Lumpur–Kuantan berdekatan Kampung Desa Bakti di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.20 tengah hari itu, warga tempatan berusia 79 tahun yang memandu pacuan empat roda Toyota Hilux dan penumpang kenderaan itu, lelaki warga China berusia 46 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiga lagi penumpang Toyota Hilux membabitkan warga emas berusia 65 dan 69 tahun serta kanak-kanak berusia sembilan tahun parah, manakala pemandu treler Hinoyang iaitu lelaki berusia 63 tahun turut cedera.

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, hasil siasatan mendapati, kemalangan berlaku apabila treler dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur bertembung dengan Toyota Hilux di laluan bertentangan.

“Mangsa yang parah dirawat di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh. Pemandu treler turut mendapat rawatan di hospital sama.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd