am@hmetro.com.my
Papar: Remaja lelaki berusia 14 tahun dan kanak-kanak berusia 7 tahun ditemukan lemas manakala seorang lagi masih hilang selepas mandi di pantai Kampung Bundusan, di sini, petang tadi.
Rizq Aariz Julkarnain Abd Aziz, 14 dan Rubern Vitalis, 7, disahkan meninggal dunia manakala Karl Marx Vitalis, 48, masih belum ditemukan.
Bagaimanapun seorang mangsa, Matthew Kana Vitalis, 12, berjaya diselamatkan penduduk kampung.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Penolong Penguasa Bomba, Rozlan Osman berkata ketika kejadian, keempat-empat mangsa dilaporkan mandi di pantai berkenaan pada jam 5.30 petang.
“Berdasarkan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah terima panggilan kecemasan dari MERS999 terdapat empat orang mangsa lemas di pantai semasa menjalankan aktiviti mandi manda.
“Seorang dilaporkan selamat ketika ketibaan anggota penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 6.01 petang tadi.
“Terdapat seorang mangsa berjaya dijumpai oleh orang kampung sebelum ketibaan bomba. Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, bantuan pernafasan (CPR) dijalankan bersama Pegawai Perubatan dari KKM dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa ketiga berjaya dijumpai oleh pasukan bomba pada jam 6.56 petang, terdampar di tepi pantai.
“Pasukan bomba sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang masih hilang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd