Dua kelab gergasi minat Salah

Dua kelab gergasi minat Salah

London: Mohamed Salah diintai dua pesaing terbesar Liverpool di Eropah ketika isu kontraknya di Anfield, yang berakhir musim panas depan, semakin hangat.

Legenda The Reds itu mengejutkan ramai selepas kemenangan 3-0 pasukan itu menentang seteru utama, Manchester United pada 1 September lalu dengan mengakui bahawa musim ini mungkin yang terakhir baginya di kelab itu.

Salah sudah bersama Liverpool sejak menyertai kelab itu dari Roma pada 2017, dan dalam tempoh itu, dia sudah memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, serta beberapa trofi lain selain membuat 352 penampilan dan menjaringkan 214 gol.

Kontraknya dijangka tamat pada penghujung Jun 2025, dan komen terkini pemain Mesir itu telah mencetuskan gelombang spekulasi mengenai masa depannya, dengan ramai yang menjangkakan penyerang itu akan berpindah ke Arab Saudi.

Namun, nampaknya Salah mungkin akan terus kekal di Eropah sekali gus kemungkinan akan menyaksikannya berdepan Liverpool di mana dia menjadi ikon dalam perlawanan Liga Juara-Juara, lapor El Nacional.

Paris Saint-Germain (PSG) dan Juventus dikatakan berminat terhadap pemain berusia 32 tahun itu dan kedua-dua kelab telah mengemukakan pertanyaan mengenai pemain itu dalam usaha memujuknya untuk kekal di benua Eropah.

PSG dilaporkan berminat untuk memperkuat barisan serangan mereka yang sudah kukuh, yang terdiri daripada Ousmane Dembele, Marco Asensio, dan Bradley Barcola.

Sementara itu Juventus yang semakin mempamer peningkatan prestasi, sedang mencari peluang untuk mendapatkan khidmat Salah ke dalam barisan mereka.

Apa pun, mengejar pemain Mesir itu nampaknya adalah langkah bijak bagi mana-mana kelab terkemuka Eropah kerana dia sememangnya aset cukup berharga.

© New Straits Times Press (M) Bhd