Dua kali kena 'scam', rugi lebih setengah juta ringgit

Dua kali kena 'scam', rugi lebih setengah juta ringgit

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang jurutera kerugian RM571,100 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan saham dalam talian yang menjanjikan keuntungan berganda menerusi aplikasi WhatsApp.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Victor Genason berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa lelaki tempatan yang berusia 44 tahun itu pada kelmarin, mendakwa ditipu oleh dua pelaburan berasingan yang menawarkan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, mangsa mendakwa kejadian bermula pada 30 November tahun lalu apabila dia menerima mesej WhatsApp daripada wakil ‘Nuveen Financial Community’ yang menawarkan akademi pelaburan.

“Mangsa melakukan 23 transaksi ke sembilan akaun berbeza dari 22 Januari lalu hingga 3 April lalu dengan jumlah keseluruhan RM469,100.

“Bagaimanapun, apabila ingin mengeluarkan keuntungan pelaburan, mangsa diminta membuat bayaran tambahan tetapi tidak berjaya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Victor, pada 10 Disember tahun lalu, mangsa menerima tawaran sama daripada ‘PJT Partner Shock Academy’ dan membuat sembilan transaksi ke empat akaun berbeza antara 9 Januari lalu hingga 28 Mac lalu, dengan jumlah RM125,000.

Katanya, sama seperti sebelum itu, mangsa tidak menerima keuntungan yang dijanjikan dan terus diminta membuat bayaran tambahan.

“Mangsa menyedari dirinya ditipu selepas cuba mendapatkan semula wang pelaburannya, namun gagal.

“Siasatan awal menerusi platform Semak Mule CCID mendapati tujuh daripada 13 akaun yang terbabit mempunyai 44 rekod laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan,” jelasnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top