Dua gol Odobert buat Spurs lega

Dua gol Odobert buat Spurs lega

London: Wilson Odobert meledak dua gol pertamanya untuk Tottenham ketika pasukannya menempah tempat ke suku akhir Liga Europa selepas menewaskan AZ Alkmaar 3-1 seterusnya menang 3-2 secara agregat.

Tugas pengendali Spurs, Ange Postecoglou, dilaporkan berada di bawah tekanan sekiranya gagal di Liga Europa, yang menjadi peluang terakhir bagi pengendali Australia itu untuk meraih trofi pertama kelab sejak 2008 musim ini.

Prestasi Odobert yang terjejas teruk akibat kecederaan sejak menyertai kelab dari Burnley dengan bayaran £25 juta (RM143.66 juta) pada Ogos, tampil cemerlang ketika pasukannya menuntut aksi terbaik darinya.

Pemain 20 tahun itu membuka jaringan pada minit ke-26 ketika menentang kelab Belanda itu pada aksi timbal balik 16 terakhir di London dan menambah jaringan pada minit ke-74 untuk memastikan kemenangan 3-1.

Jaringan kedua Odobert itu melegakan tuan rumah selepas Peer Koopmeiners mengikat kedudukan 2-2 secara agregat. Sebelum itu James Maddison meledak gol kedua Spurs pada minit ke-48.

Spurs akan bertemu dengan juara 2022, Eintracht Frankfurt, di suku akhir.

“Kami sudah mara, itu perkara utama, dan kami bermain dengan baik juga. Saya rasa kami benar-benar menguasai perlawanan, tetapi kadang-kadang musuh terbesar adalah kami sendiri.

“Apabila kami menguasai, kami membiarkan mereka kembali dalam permainan dan ia menjadi sedikit cemas di penghujungnya, tetapi kami memang berhak untuk menang,” kata Postecoglou.

Tottenham menerima dorongan besar sebelum sepak mula apabila pilihan utama di posisi pertahanan tengah, Cristian Romero dan Micky van de Ven, cergas untuk bermula bersama buat pertama kali sejak Disember.

“Mereka adalah pemain berkualiti. Romero dan Micky memberikan perbezaan yang besar buat kami dan anda dapat lihat Wilson, kami hampir tidak dapat menggunakan khidmatnya tahun ini, betapa hebatnya bakat yang dimilikinya.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top