Dua beradik harum nama Malaysia tanpa pasukan 'hebat'

Dua beradik harum nama Malaysia tanpa pasukan 'hebat'

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Gombak: Walaupun penyertaan pertama dua pemanah berkuda cilik ini di pentas antarabangsa tanpa diiringi pasukan pengurusan yang ramai, mereka masih mampu mempamer aksi cemerlang sehingga merangkul kejuaraan.

Abdurrahman Ahmad Muaz, 14, dan adik perempuannya, Heba Nusaybah, 11, mengharumkan nama Malaysia pada kejohanan European Kids Horseback Archery Championship 2024 yang berlangsung di pusat equestrian, Domaine de Gauchoux di Perancis pada 21 Ogos hingga 24 Ogos lalu.

Kejohanan itu disertai lebih 110 peserta dari 16 negara seperti Perancis, Belanda, Belgium, Indonesia, Brazil, Finland, Poland, England, Sepanyol, Jerman, Afrika Selatan, Switzerland, Turkiye, Amerika Syarikat dan Ireland.

Abdurrahman merangkul gelaran juara bawah 14 tahun apabila memenangi tiga format yang dipertandingkan, manakala Heba Nusaybah mendapat tempat kedua.

Ibu mereka, Nurul Fathim Ridayu Ramli, 39, berkata, dia dan keluarga bersyukur dengan pencapaian terbaik dua beradik itu, malah mengakui usaha serta bantuan keluarga menghantar mereka ke Perancis dengan dana sendiri terbayar dengan kemenangan itu.

“Kami satu-satunya pasukan yang paling kecil apabila hanya saya dan dua anak ke sana, berbanding pasukan negara lain yang lebih ramai dan mewakili negara dengan melalui proses saringan.

“Kami ke sana menggunakan pembiayaan sendiri termasuk usaha anak yang mengumpul dana dengan berniaga kuih raya dan jual peralatan memanah, selain bantuan datuk serta nenek mereka.

“Jadi kemenangan ini sangat bermakna untuk kami,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita lanjut, Nurul Fathim Ridayu berkata, dua anaknya menceburi sukan berkenaan sejak dua tahun lalu dan berguru dengan jurulatih di Indonesia.

“Pada mulanya, saya yang mahu belajar menunggang kuda dan ajak anak sertai.. akhirnya mereka juga minat. Tiga bulan selepas itu anak mula belajar memanah dan untuk lebih mencabar, mereka memilih untuk aktif sukan memanah berkuda.

“Apabila meneruskan latihan di Malaysia, memandangkan anak tiada jurulatih di sini, saya yang menjadi pengurus dan pemantau kerana saya juga sudah belajar teknik sukan ini ketika di Indonesia.

“Setakat ini, kira-kira 10 kejohanan sudah anak sertai di dalam negara dan Indonesia. Kami melihat (perlu) untuk keluar (kejohanan) jauh sikit bagi menilai dan mengukur kemampuan anak dan memiilih Eropah,” katanya yang memberitahu anaknya menjalani latihan memanah setiap hari, manakala memanah berkuda setiap dua hingga tiga kali seminggu di Hulu Selangor.

Ibu kepada enam anak itu mengakui sukan memanah berkuda antara sukan yang memerlukan kos tinggi, namun dia sering mengingatkan anaknya mengenai kesungguhan dalam mencapai sesuatu diminati.

Untuk itu, katanya, anak-anak akan lebih menghargai dan lebih bersemangat dalam sukan itu.

“Sukan ini selain sunnah Rasulullah SAW, ia juga mendidik anak untuk mempunyai jati diri dan lebih fokus, selain daya kepimpinan apabila perlu mengawal kuda dengan baik.

“Paling penting pada saya, sukan ini memberi persekitaran dan lingkungan yang baik untuk anak. Harapan saya agar mereka lebih berkembang maju dalam sukan memanah berkuda dan agar lebih ramai anak muda meminati sukan ini juga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd