
Penumpang yang cedera dibawa untuk mendapatkan rawatan. – Agensi
QUETTA – Pasukan keselamatan Pakistan berjaya menamatkan kepungan selama 30 jam terhadap kereta api Jaffar Express yang dirampas kumpulan militan di kawasan berbukit Bolan, Balochistan pada Rabu.
Menurut laporan AFP, serangan balas pasukan keselamatan mengorbankan 33 militan manakala lebih 300 penumpang berjaya diselamatkan.
Jurucakap tentera, Lt-Gen Ahmed Sharif Chaudhry mengesahkan 21 tebusan terbunuh dalam insiden itu. Bagaimanapun, Pengarah Jeneral Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR) menegaskan bahawa tiada orang awam yang tercedera dalam operasi menyelamat terakhir.

Tentera Pakistan mengawal keadaan.- Agensi
Krisis bermula pada Selasa apabila kumpulan militan pemisah menyerang kereta api dari Quetta ke Peshawar dengan mengebom landasan dan melancarkan serangan roket. Ketika kejadian, seramai 440 penumpang berada dalam kereta api tersebut.
Serangan kumpulan pemisah di wilayah itu semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kebanyakan sasaran melibatkan pasukan keselamatan dan kumpulan etnik dari luar Balochistan. Militan mendakwa pihak luar mengeksploitasi sumber asli wilayah tersebut, yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran.

Tentera Pakistan melakukan rondaan.- Agensi
Beberapa penumpang yang terselamat berkongsi detik cemas ketika kumpulan bersenjata menguasai kereta api dan memeriksa kad pengenalan sebelum menembak anggota tentera.
“Mereka meminta kami keluar seorang demi seorang. Wanita dan orang tua dibenarkan pergi,” kata Muhammad Naveed, salah seorang yang berjaya melarikan diri.
“Mereka menjanjikan kami keselamatan, tetapi selepas kira-kira 185 orang keluar, mereka memilih individu tertentu dan menembak mereka,” tambahnya.
Kajian mendapati bahawa tahun 2024 merupakan tahun paling berdarah bagi Pakistan dalam tempoh sedekad, dengan peningkatan serangan di sepanjang sempadan Afghanistan sejak Taliban kembali berkuasa di Kabul pada 2021.
Islamabad menuduh Afghanistan memberikan perlindungan kepada kumpulan militan untuk merancang dan melancarkan serangan ke atas Pakistan, namun tuduhan itu dinafikan oleh Kabul.