‘Drama Korea’ Suk Yeol belum berakhir

‘Drama Korea’ Suk Yeol belum berakhir
‘Drama Korea’ Suk Yeol belum berakhir

Kebanyakan muka depan akhbar di Seoul memaparkan drama politik melibatkan Suk Yeol. Foto Agensi

SEOUL – “Presiden digantung tugas, Yoon Suk Yeol tidak melakukan pemberontakan dengan mengisytiharkan undang-undang tentera dan akan melawan pertuduhan itu di mahkamah.”

Kenyataan itu dibuat pasukan pembelaan beliau pada Selasa selepas beliau kini berada di bawah siasatan akibat keputusan kontroversi yang mencetuskan huru-hara di negara tersebut pada 3 Disember lalu.

“Keputusan Suk Yeol bukan satu bentuk pemberontakan. Kami akan kemukakan hujah bagi menyokong dakwaan itu di mahkamah. Tetapi, kami tetap akan mematuhi proses siasatan,” kata jurucakap pasukan itu, Seok Dong-hyeon.

Respons itu diberikan pasukan undang-undang beliau beberapa jam selepas Yonhap melaporkan penyiasat sudah memberi peringatan kepada Suk Yeol supaya tampil untuk disoal siasat selewat-lewatnya Sabtu ini atau bakal ditahan jika gagal berbuat demikian.

Beliau perlu berdepan pasukan penyiasat bersama termasuk Kementerian Pertahanan dan antirasuah bagi memberi penjelasan tentang cubaan menggantung pemerintahan awam yang berdepan bantahan banyak pihak.

Suk Yeol dan beberapa sekutunya berkemungkinan dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau dihukum mati jika disabit bersalah.

Terdahulu, unit penyiasat cuba menyerbu perkhidmatan keselamatan pemimpin tersebut untuk mendapatkan rekod telefon beliau selepas serbuan pada minggu lalu berdepan halangan.

Difahamkan, unit sama menuntut beliau hadir untuk disoal siasat pada Rabu atas tuduhan pemberontakan dan salah guna kuasa.

“Tetapi, tiada respons diterima walaupun arahan itu telah dihantar ke pejabat Presiden,” ujar jurucakapnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahkamah Perlembagaan telah memulakan prosiding pemecatan ke atas Suk Yeol dan nasibnya hanya akan diketahui dalam tempoh enam bulan sama ada kekal sebagai Presiden atau tidak. – Agensi

Scroll to Top