Dr Muhamad Akmal jadikan Nyra sebagai anak angkat

Dr Muhamad Akmal jadikan Nyra sebagai anak angkat

am@hmetro.com.my

Jasin: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menjadikan anak bongsu wanita yang maut dalam kemalangan ketika pulang dari menghantar anak ke sekolah Isnin lalu, sebagai anak angkat.

Perkara itu dikongsikan beliau yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Katanya, beliau sudah memaklumkan hasratnya itu kepada bapa bayi terbabit, Tengku Syafarin Tengku Abdullah, 45 dan bersedia untuk bersama-sama membesarkan Nayra.

“Hari ini (semalam) Allah berikan saya seorang anak angkat baru iaitu adik Nayra.

“Ibu Nayra dijemput Allah akibat kemalangan dan meninggalkan Nayra, ayahnya serta tiga beradik yang lain.

“Tersentuh hati saya, apabila melihat Nayra dan kakaknya yang masih lagi kecil Allah duga dengan kehilangan ibu yang tersayang dan betapa besarnya dugaan ayah Nayra untuk membesarkan mereka semua

“Insya-Allah saya sudah maklumkan pada ayah Nayra untuk mengambilnya sebagai anak angkat untuk sama-sama membantu ayahnya membesarkan Nayra.

“Moga roh arwah ibu Nayra ditempatkan dalam kalangan kekasih Allah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi Isnin lalu, mangsa Noor Faradhillah Muhammad Yusuff, 42, yang masih menyusukan anak bongsunya berusia enam bulan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta di Jalan Melaka-Muar, berhampiran Kolej Komuniti Jasin, Merlimau, di sini.

Sementara itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menjalankan sesi kaunseling kepada ahli keluarga mangsa bagi mengurangkan trauma mereka.

Pengarah Kebajikan Masyarakat Melaka, Halyjah Muhammad berkata, sebaik dimaklumkan berita sedih itu beliau mengarahkan dua pegawai kebajikan masyarakat dan pegawai psikologi Daerah Jasin hadir ke rumah Allahyarham, semalam.

“Hasil intervensi dijalankan didapati keluarga mangsa tenang dan emosi suami mangsa serta empat anaknya stabil.

“Namun, intervensi susulan akan dilaksanakan jika perlu kepada lelaki itu dan empat anaknya berusia 19 hingga enam bulan pada masa akan datang.

“Dalam lawatan itu kita turut menyalurkan bantuan segera RM300 berserta kit ziarah berupa barangan keperluan asas,” katanya dihubungi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top