DPMM sasar tubuh 10 konsortium, bantu perkasa usahawan Bumiputera

DPMM sasar tubuh 10 konsortium, bantu perkasa usahawan Bumiputera

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyasarkan penubuhan 10 konsortium Melayu melalui program Gerakan Ekoniaga Madani (Gema) bagi memperkasa usahawan Bumiputera dalam sektor solar, pembinaan, telekomunikasi, pertanian dan perkapalan menjelang 2035.

Presidennya Norsyahrin Hamidon berkata, ketika ini DPMM hanya mempunyai satu konsortium solar yang baru dianugerahkan projek pemasangan panel solar oleh Gentari Sdn Bhd iaitu anak syarikat Petronas.

Menurutnya, konsortium yang diketuai syarikat teknologi tenaga, Uzma Berhad itu diberikan projek pemasangan panel solar di 100 stesen minyak Petronas seluruh negara.

“Kalau boleh kita mahu kapten industri kita terlibat seperti konsortium pembinaan, telekomunikasi, pertanian dan perkapalan.

“Kita ada Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP), itu bukan calang-calang bidang yang berjaya diceburi dan diusahakan oleh anak Melayu.

“Jadi memang kalau boleh kita nak mula dengan 10 konsortium dan kita dapat maklum balas dari beberapa pemain industri (syarikat Bumiputera),” katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Aidilfitri DPMM di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Januari lalu, DPMM dilaporkan akan menubuhkan konsortium perniagaan dan melaksanakan program Gema bagi memastikan usahawan Bumiputera kekal kompetitif di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Langkah itu adalah strategi baharu DPMM bagi memperkasakan usahawan Melayu pada tahun ini selain mengatasi cabaran persaingan pasaran, perkembangan ekonomi digital dan keperluan pematuhan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Mengulas lanjut, Norsyahrin berkata, pada masa ini, usahawan Bumiputera hanya menyumbang 8.1 peratus daripada keseluruhan keluaran dalam negeri kasar (KDNK) Malaysia.

“Berdasarkan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA 35), kita hendak usahawan Bumiputera sumbang 15 peratus dari KNDK negara pada 2035.

“Jadi banyak lagi sebenarnya yang perlu kita lakukan dan kita menyeru kepada usahawan ataupun kontraktor-kontraktor Melayu supaya ambil bahagian dalam program Gema,” katanya.

Beliau juga memaklumkan DPMM sedang mengintai peluang membangunkan 20.2 hektar Tanah Rizab Melayu yang sudah diwartakan di Bandar Malaysia.

“Saya bercakap dengan Datuk Seri Anwar semasa pertemuan DPMM di pejabat beliau pada Mei tahun lalu, beliau ada menyatakan bahawa kalau boleh DPMM lihat program pembangunan Bandar Malaysia.

“Susulan itu, kita sudah berhubung dengan Bandar Malaysia Sdn Bhd, kita merasakan apa salahnya tanah rizab Melayu itu dibangunkan oleh konsortium pembinaan orang-orang Melayu di bawah DPMM dan kita pun sedang berusaha ke arah itu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top