Dougal tak gentar ‘ngauman’ puluhan ribu penyokong JDT

Dougal tak gentar ‘ngauman’ puluhan ribu penyokong JDT

KAPTEN Buriram United, Kenneth Dougal menegaskan dia dan rakan sepasukan tidak gentar beraksi di hadapan lebih 34,000 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa.

Menurut Dougal, berdasarkan kepada pengalaman beraksi di stadium besar dan melibatkan perlawanan penting, dia yakin skuad kendalian Osmar Loss itu mampu mengawal permainan dan seterusnya mencapai kemenangan yang diinginkan.

“Kami sudah biasa dengan kehadiran puluhan ribu penyokong. Tidak kira bermain di depan 50,000 atau 1,000 penonton, ia tetap perlawanan yang berbeza di tempat lawan.

“Tetapi bagi kami, apa yang penting adalah bagaimana kami mengawal permainan dan seterusnya memastikan kemenangan,” katanya.

Dougal turut mengakui aksi berdepan JDT kali ini bukannya aksi biasa kerana pasukan yang tewas bakal tersingkir daripada saingan.

Justeru katanya, kesemua pemain telah bersedia secukupnya bagi mengharungi aksi getir ini.

“Ini bukan seperti perlawanan lain. Ia perlawanan hidup mati, jika kalah, kami tersingkir.

“Jadi, kami tahu betapa besarnya perlawanan ini dan kami sudah bersedia untuk segalanya demi kemenangan,” jelasnya.

Scroll to Top