DOSM bakal laksana Banci Pertanian pada 2024

DOSM bakal laksana Banci Pertanian pada 2024

SUNGKAI: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengadakan sesi libat urus bersama hampir semua negeri bagi memperincikan pelaksanaan Bancian Pertanian 2024 yang dijangka bermula Julai tahun hadapan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata bancian itu secara dasarnya membabitkan kerajaan negeri, agensi berwajib dan pelbagai pihak berkepentingan.

Beliau berkata, kali terakhir Malaysia menjalankan Banci Pertanian adalah 18 tahun lalu iaitu pada tahun 2005.

“Banci berskala besar ini akan meliputi bancian ke atas isi rumah dan pertubuhan perniagaan yang terbabit dalam aktiviti pertanian iaitu tanaman makanan dan komoditi, ternakan, perikanan dan akuakultur serta pembalakan dan perhutanan.

“Maklumat utama yang akan dihasilkan daripada bancian berkenaan adalah demografi pegangan pertanian, keluasan tanah, sistem pengairan, pekerja, agro-pelancongan, kemudahan pembiayaan.

“Selain itu, termasuklah juga pendapatan dan perbelanjaan aset, amalan pertanian dan penggunaan teknologi, ekonomi digital dalam pemasaran serta aspek keterjaminan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Penghijauan Malaysia Sempena Banci Pertanian 2024 di Institut Latihan Statistik Malaysia (ILSM) di sini, kelmarin.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Ismail Parlan, Timbalan Ketua Perangkawan, Program Sosial dan Pembangunan Teknikal, Nazaria Baharudin dan Timbalan Ketua Perangkawan, Program Ekonomi, Datin Seri Rozita Talha.

Mohd Uzir berkata, bancian itu juga menyeluruh selain memfokuskan kepada isu ketidakseimbangan perolehan peruntukan dengan pengeluaran hasil oleh seseorang pemain industri dalam bidang pertanian.

“Sebagai contoh, berdasarkan dapatan kita ada (pemain industri) yang menerima bantuan daripada 10 agensi berbeza dalam bidang yang diceburi.

“Kita tidak menghalang perkara itu berlaku, namun penghasilannya perlu selari dengan apa yang diperuntukkan,” katanya.

Sejajar resolusi PBB

Menurutnya, memorandum jemaah menteri bagi pelaksanaan Banci Pertanian 2024 telah dibentangkan dan diluluskan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 24 November lalu.

“Secara rasminya, DOSM telah mendapat satu punca kuasa bertulis untuk menggiatkan lagi kerja-kerja persediaan pelaksanaan Banci Pertanian 2024, khususnya, pewartaan.

“Pelaksanaan banci berkenaan sejajar dengan resolusi Food and Agriculture Organisation (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengesyorkan agar semua negara melaksanakan Banci Pertanian dengan kekerapan sekali dalam tempoh 10 tahun.

“Contohnya, negara Australia, Kanada dan Republik Korea melaksanakan Banci Pertanian lima tahun sekali, manakala Indonesia, Filipina, Thailand serta Sri Lanka pula melaksanakan bancian dengan kekerapan 10 tahun sekali,” katanya.

Beliau berkata, bagi melaksanakan Banci Pertanian itu, sehingga kini DOSM telah berinteraksi lebih 200 agensi di peringkat Persekutuan dan kira-kira 1000 agensi di peringkat daerah.

“Selepas kita menjalankan sesi libat urus maka kita telah mengadakan pengambilan data yang terdapat di agensi berkenaan dan kini sedang di integrasi.

“Disebabkan Banci Pertanian terakhir dibuat pada 2005 maka terdapat banyak jurang data dan data yang tidak konsisten. Justeru, ia akan diharmonikan dan pemukiman Banci Pertanian dibuat dengan membabitkan 156 daerah.

“Pada ketika ini, kita dapati terdapat 1.6 juta terbabit dalam sektor pertanian antaranya petani dan ada juga pertubuhan perniagaan termasuk syarikat besar,” katanya.

Beliau berkata, bancian kali ini akan digabung jalinkan dengan data industri yang dikumpulkan melalui banci berkenaan antaranya membabitkan sektor perkilangan berkaitan pertanian serta menghubung kaitkan juga data eksport dan import untuk melihat ekosistem perdagangan negara.

Tanam lebih 300 pokok

DOSM bakal laksana Banci Pertanian pada 2024
Antara peserta yang menyertai acara menanam anak pokok pada Program Penghijauan Malaysia sempena Banci Pertanian 2024 di ILSM, Sungkai.

Terdahulu, Mohd Uzir bersama Ismail serta lebih 300 peserta menanam 350 anak pokok di kawasan seluas 1.7 ekar berhampiran Dewan Sigma ILSM.

Antara pokok ditanam ialah jambu, cermai, beruas, sentul, jering, pelung, gajus, kapur, kantan, palau senkawan air, meranti tembaga dan meranti seraya.

Mengulas program itu katanya, ia dianjurkan dengan kerjasama FRIM dan bertujuan menyokong komitmen kerajaan terhadap kelestarian serta meningkatkan kesedaran mengenai kawasan hijau sebagai khazanah negara.

“Inisiatif ini bukan sahaja menggambarkan komitmen DOSM terhadap kelestarian alam, tetapi juga seiring dengan agenda nasional yang memberi penekanan kepada kepentingan kawasan hijau.

“Malah,ia selaras dengan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dalam tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, tujuan kempen itu adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya memelihara kawasan hijau yang dipenuhi pokok di seluruh negara.

“Sehingga hari ini, kita berjaya menanam lebih 80 juta pokok di seluruh negara yang membabitkan pelbagai agensi dan pihak serta kita masih mempunyai masa selama dua tahun untuk mencapai sasaran 100 juta pokok menjelang tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama antara pihak DOSM dan FRIM akan berterusan pada masa akan datang dalam mendokong matlamat pembangunan mampan.

© New Straits Times Press (M) Bhd