Sao Paulo: Jurulatih pasukan kebangsaan Brazil, Dorival Junior, percaya bahawa ‘situasi dunia’ bola sepak sedang melalui perubahan yang ketara ketika pasukannya bersiap sedia untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Venezuela esok.
“Saya rasa perlawanan ini tidak akan mudah. Lupakan Venezuela, Bolivia baru-baru ini. Sekarang, situasi dunia bola sepak sedang berubah dengan pesat,” kata Dorival di Belem, Brazil, tempat pasukannya menjalani latihan.
Walaupun tekanan berkurang selepas kemenangan Brazil ke atas Chile (2-1) dan Peru (4-0) pada perlawanan kelayakan bulan Oktober, jurulatih berusia 62 tahun itu memberi amaran bahawa, pasukan seperti Argentina, Brazil perlu mengakui bahawa mereka kehilangan mata berharga terhadap pasukan yang sebelum ini dilihat sebagai lawan mudah.
“Bola sepak Amerika Selatan berkembang dengan pesat secara keseluruhannya. Jika anda melihat kebanyakan pasukan kebangsaan, anda akan nampak pemain bermain di kelab-kelab seluruh dunia, yang mana perkara ini tidak berlaku sehingga baru-baru ini,” kata Dorival.
“Pasukan-pasukan teratas tidak mempunyai ruang yang banyak untuk berkembang, sementara pasukan yang berada di bawah mula menunjukkan kemajuan yang besar. Ini menjadikan perlawanan lebih seimbang dan sengit.”
Pasukan Brazil masih dalam proses pembangunan di bawah bimbingan Dorival, dan beliau menjangkakan prestasi mereka akan ‘berubah-ubah’ sepanjang proses berkenaan.
Bagaimanapun, beliau percaya mereka sedang menuju untuk menjadi pasukan yang ‘selamat’, ‘kuat’, dan ‘seimbang’.
Selepas permulaan yang buruk dalam kelayakan, di mana mereka kehilangan separuh daripada lapan perlawanan pertama di Amerika Selatan, Brazil bangkit dengan kemenangan ke atas Chile dan Peru.
Kini mereka berada di kedudukan keempat dengan 16 mata daripada 10 perlawanan.
Enam pasukan terbaik dari Amerika Selatan akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2026.
Brazil kini ketinggalan enam mata di belakang Argentina, yang berada di tangga teratas, manakala Venezuela menduduki tempat kelapan.
“Kami tidak berada dalam situasi yang sepenuhnya menguntungkan; kami datang dari belakang… tetapi kami semakin mendapat struktur yang lebih kukuh dalam pasukan,” tambah Dorival.
Selepas perlawanan menentang Venezuela pada Jumaat, Brazil akan bertemu Uruguay pada Selasa depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd