Doktor rugi RM113,086 kena 'scam' kerja sambilan

Doktor rugi RM113,086 kena 'scam' kerja sambilan

am@hmetro.com.my

Muar: Teruja dengan pulangan lumayan yang dijanji menyebabkan seorang doktor lelaki kerugian lebih RM100,000 akibat terpedaya dengan sindiket menawarkan pekerjaan sambilan yang tidak wujud.

Mangsa berusia 27 tahun didakwa terjebak dengan sindiket itu selepas berkenalan dengan individu melalui satu aplikasi sebelum ditawarkan pekerjaan sambilan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata, mangsa dijanjikan pulangan sebanyak 20 peratus jika menyelesaikan tinjauan menerusi pautan yang disediakan kepadanya.

“Tertarik dengan pulangan komisyen serta percaya dengan tawaran kerja sambilan itu, mangsa kemudian mendaftar sebagai ejen menerusi laman sesawang.

“Bagi mendapatkan tinjauan ditawarkan, mangsa melakukan 14 transaksi ke dalam lima akaun berbeza berjumlah RM113,086,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, melalui paparan laman sesawang yang dimuat turun mangsa menunjukkan keuntungan RM130,000, namun mangsa diminta membuat bayaran tambahan sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan terbabit.

“Mangsa enggan berbuat demikian kerana mula berasa ditipu.

“Berikutan itu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar semalam untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top