Doktor berkelakuan tidak senonoh ditahan semula lagi

Doktor berkelakuan tidak senonoh ditahan semula lagi

Georgetown: Seorang doktor perubatan sebuah hospital, di sini, yang ditahan kerana disyaki berkelakuan tidak senonoh terhadap pesakit, Khamis lalu ditahan semula hari ini bagi melengkapkan siasatan terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, tempoh reman lelaki berusia 43 tahun itu tamat hari ini, namun suspek ditahan semula susulan laporan polis ketiga dibuat terhadapnya, Jumaat lalu.

“Lelaki itu ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan kita hendak melengkapkan siasatan kes berkaitan laporan ketiga dibuat seorang wanita yang mendakwa dirinya juga menjadi mangsa.

“Doktor itu akan dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan terhadapnya selesai. Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, polis menahan pegawai perubatan itu di sebuah hospital, di sini, pada 9.30 malam 26 Februari lalu selepas menerima maklumat daripada pihak hospital.

Suspek direman sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 2 Mac lalu.

Bagaimanapun, suspek ditahan semula pada Khamis lalu selepas disyaki melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi pesakit wanita di sebuah klinik swasta di Pulau Tikus pada 2023, dan polis memperoleh perintah reman hingga hari ini.

Jumaat lalu, seorang wanita warga asing membuat laporan polis mendakwa suspek memperdayakannya untuk membuka pakaian ketika melakukan pemeriksaan jantung di hospital tempat doktor itu bertugas pada 20 Februari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top