am@hmetro.com.my
Kuantan: Dua individu membabitkan doktor dan ahli perniagaan kerugian RM565,200 akibat ‘phone scam’ membabitkan skim pelaburan tidak wujud serta dakwaan melakukan pengubahan wang haram.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, berdasarkan laporan semalam, doktor wanita berusia 44 tahun kerugian RM433,700 selepas terpedaya dengan skim itu.
Katanya, mangsa menyertai pelaburan itu selepas melihat iklan pakej pelaburan melalui aplikasi Telegram, 3 Julai 2024.
“Selepas terpedaya dengan tawaran suspek, mangsa menekan pautan yang disediakan sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi WhatsApp.
“Mangsa memilih pakej modal RM500 dan ditawarkan keuntungan RM15,000 dalam masa tiga jam.
“Sepanjang tempoh pelaburan itu, mangsa membuat 22 transaksi ke 16 akaun bank berbeza,” katanya pada kenyataan, hari ini.
Mangsa yang gagal menerima pulangan kemudiannya membuat laporan polis.
Dalam kes kedua, Yahaya berkata, ahli perniagaan wanita berusia 61 tahun kerugian RM131,500 selepas terpedaya dengan suspek yang menyamar sebagai kakitangan syarikat pembekal tenaga.
Katanya, mangsa pada dimaklumkan terbabit dalam kes kecurian elektrik sebelum dituduh terbabit dengan pengubahan wang haram.
“Mangsa diarahkan bercakap dengan individu menyamar sebagai pegawai polis sebelum diminta melakukan pindahan wang kepada akaun bank diberikan.
“Mangsa melakukan 26 transaksi berjumlah RM131,500. Mangsa menyedari ditipu selepas diminta untuk melakukan transaksi tambahan,” katanya.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan masyarakat diingatkan supaya membuat semakan dipautan https://semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan transaksi.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd