Miami Gardens (Amerika Syarikat): Novak Djokovic berada di ambang pencapaian kejuaraan profesional ke-100 di Terbuka Miami, dengan pemain Serbia itu menyatakan bahawa dia berada pada tahap terbaik ketika ini.
Kemenangan 6-2 6-3 yang mudah ke atas Grigor Dimitrov membolehkan Djokovic ke pentas final esok.
Hanya Roger Federer (103) dan Jimmy Connors (109) yang melepasi angka seratus dalam kemenangan profesional, dan Djokovic mengakui bahawa menyertai kelab elit itu antara perkara yang bermain di fikirannya.
“Selepas Olimpik Paris, yang juga adalah kejuaraan ke-99 saya, saya tahu bahawa setiap kejohanan yang disertai adalah untuk kejuaraan ke-100. Saya tidak dapat mencapainy sehinggalah diharapnya pada Ahad(esok) nanti.
“Saya akan memberikan segalanya. Saya belum kehilangan satu set. Saya bermain tenis dengan sangat baik, sebaik yang pernah saya mainkan dalam jangka masa yang lama. Ini adalah peluang yang hebat,” katanya.
Pemain berusia 37 tahun itu tewas di final Shanghai pada Oktober lalu dan mara ke separuh akhir Terbuka Australia di mana dia terpaksa menarik diri akibat kecederaan kaki.
Dia hadir ke Miami selepas tewas di pusingan kedua Indian Wells kepada pemain yang mendapat peluang terakhir, Botic van de Zandschulp, namun dia belum kehilangan satu set di Stadium Hard Rock.
© New Straits Times Press (M) Bhd