GAZA: Ahmad Manasra, seorang rakyat Palestin yang ditahan Israel ketika baru berusia 13 tahun akhirnya dibebaskan selepas 10 tahun dipenjarakan, lapor Al-Mayadeen, semalam.
Ahmad yang kini berusia 23 tahun telah melalui tahun-tahun penyeksaan fizikal dan psikologi yang teruk sehingga menyebabkan keadaan kesihatan mentalnya merosot.
Menurut koresponden Al-Mayadeen, tentera Israel dengan sengaja membebaskan Ahmad melalui pintu belakang penjara, sedangkan keluarga Ahmad sedang menunggunya di pintu utama.
Ahmad dan sepupunya yang berusia 15 tahun dituduh menikam dua penduduk Israel di penempatan haram Pisgat Ze’ev di Tebing Barat menyaksikan dia dipenjara.
Sepupunya ditembak mati di tempat kejadian, manakala Ahmad dilanggar kereta sehingga mengalami kecederaan serius di kepala.
Selepas penangkapannya, rakaman video yang tular dalam media sosial menunjukkan Ahmad yang masih muda dan trauma dilayan dengan kasar serta disoal siasat tanpa kehadiran ibu bapa atau wakil undang-undang.
Dia didera sepanjang tahun-tahun awal tahanannya sehingga akhirnya didiagnosis menghidap skizofrenia.
Kes seperti Ahmad Manasra mendedahkan realiti pahit sistem perundangan Israel yang sering memperlakukan remaja Palestin sebagai ancaman keselamatan.
Pertubuhan hak asasi antarabangsa berulang kali mengutuk Israel kerana melanggar Konvensyen Hak Kanak-Kanak dalam kes tahanan remaja Palestin.-AGENSI