mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Seorang jururawat wanita mengalami kecederaan di kepala dan terpaksa menerima empat jahitan selepas diserang secara tiba-tiba oleh seorang lelaki kurang siuman di Jalan Pahang, di sini, Jumaat lalu.
Mangsa, yang bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL), dipukul di belakang kepala dengan objek keras ketika berjalan kaki menuju ke hentian bas berhadapan sebuah hotel di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata, polis sudah menahan suspek dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian.
“Polis menerima laporan pada 10.38 malam daripada jururawat itu yang menyatakan pada 5.10 petang, ketika berjalan kaki, dia dicederakan dengan cara dipukul di belakang kepala menggunakan suatu objek keras oleh seorang lelaki.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan polis menahan suspek pada 10.11 malam, Sabtu lalu di sekitar lokasi kejadian mangsa dicederakan dan merampas sebilah pisau pemotong kertas dalam milikannya,” katanya dalam kenyataannya, malam ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati suspek seorang lelaki kurang siuman serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersamanya dan gagal mengemukakan butiran dirinya secara lisan.
“Suspek kemudiannya dihantar ke HKL dan ditahan di wad psikiatri untuk pemantauan selanjutnya.
“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan menyalurkan maklumat kepada polis jika terdapat pergerakan mencurigakan yang berkemungkinan mengancam keselamatan diri,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd