LOS ANGELES: Pelakon, Pamela Anderson, 57, hampir diserang seorang lelaki yang menyangkakan dia salah seorang anggota kumpulan Dixie Chicks.
Pamela atau nama penuhnya, Pamela Denise Anderson berkata, dia hampir diserang lelaki yang tidak dikenalinya itu ketika menaiki pesawat, baru-baru ini.
“Lelaki tersebut secara tiba-tiba menengking saya sambil mengungkit kebaikan yang saya terima sebagai rakyat Amerika Syarikat (AS).
“Ketika itu saya tertanya-tanya, apa yang telah saya lakukan sehingga membuatkan dia marah kepada saya?
“Individu berkenaan terpaksa digari kerana dia hampir menyerang saya. Namun, kekeliruan saya terjawab apabila mengetahui lelaki tersebut menyangka saya salah seorang anggota Dixie Chicks,” katanya.
Pamela berkongsi pengalaman itu menerusi podcast Happy Sad Confused, baru-baru ini.
Kumpulan berkenaan, sebelum ini dikecam hebat kerana mengkritik pencerobohan AS keatas Iraq sekitar 21 tahun yang lalu.
Dixie Chicks juga diserang kerana secara terbuka menyuarakan rasa malu kerana George W. Bush, yang berasal dari Texas, diangkat sebagai Presiden AS pada ketika itu.
Kata Pamela, insiden tersebut meninggalkan trauma dan mengakibatkan dia ketakutan untuk menaiki pesawat.
“Saya nyaris dibunuh, kejadian itu mengakibatkan saya sedikit takut untuk menaiki pesawat selepas ini,” kongsinya.