Dipertikai tidak pakai sut, Zelensky jawab akan pakai sut jika perang Ukraine-Rusia tamat

Dipertikai tidak pakai sut, Zelensky jawab akan pakai sut jika perang Ukraine-Rusia tamat

Washington: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dipertikaikan oleh seorang wartawan mengenai pemakaian sut ketika hadir dalam sidang media bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di Pejabat Oval.

Sebelum pertengkaran antara Zelensky dan Trump berlaku, seorang wartawan lelaki bertanyakan soalan mengenai pakaian dikenakan Zelensky.

Wartawan berkenaan mempersoalkan mengapa Zelensky tidak memakai sut ke mesyuarat di pejabat peringkat tertinggi di AS.

“Kenapa anda tidak pakai sut? Adakah anda memiliki sut?” soal wartawan itu dan menjadikan suasana di bilik berkenaan sedikit janggal.

“Awak ada masalah ke?” Zelensky memberi jawapan balas ke arah wartawan itu.

“Ramai rakyat AS mempunyai masalah dengan siapa yang tidak menghormati etika pakaian di Pejabat Oval,” balas wartawan itu.

Zelensky kemudian berkata dia akan memakai sut selepas perang Rusia-Ukraine, yang meletus pada 2022, tamat.

“Saya akan memakai sut selepas perang ini tamat. Mungkin sesuatu seperti kamu, ya, mungkin sesuatu yang lebih baik. Saya tidak tahu, kita akan lihat. Mungkin sesuatu yang lebih murah. Terima kasih,” jawabnya.

Trump turut menyertai perbualan itu dan berkata dia “suka” pakaian Zelensky.

Ini bukan kali pertama Zelensky mengenakan pakaian berkenaan.

Beliau sebelum ini memakainya dalam pertemuan dengan pemimpin negara lain dan juga semasa ucapannya di Perhimpunan Agung PBB pada 2023.

Ramai pengguna media sosial, bagaimanapun, mempertikaikan bilionair Elon Musk, salah seorang sekutu terdekat Trump, yang hadir ke mesyuarat kabinet dengan memakai kemeja-T dan topi besbol.

“Apakah alasan Elon Musk memakai kemeja-T dan topi ke mesyuarat kabinet?” tulis seorang pengguna di X.

Pengguna lain turut menyiarkan gambar Musk menghadiri mesyuarat kabinet pertama yang dihoskan oleh Trump pada 26 Februari, memakai kemeja-T, jaket kasual dan topi yang mengandungi slogan pergerakan Trump “Make America Great Again” (MAGA).

“Kenapa lelaki ini tidak memakai sut?” pengguna bertanya.

“Tiada sesiapa pun berhak untuk mengulas mengenai pakaian Prez Zelensky apabila Elon Musk dibenarkan masuk ke dalam mesyuarat kabinet dengan memakai kemeja-T dan topi besbol. Mengapa mereka tidak bertanya kepada Elon jika dia memiliki sut, atau mengapa dia tidak pernah memakai sut,” kata pengguna lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top