bhnews@bh.com.my
ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan berhubung kebakaran longgokan sampah di bangunan panggung wayang lama di Pekan Simpang Kuala hari ini, tidak menyangka menemui mayat seorang lelaki di sebuah bilik tingkat atas bangunan itu.
Ketua Zon 1 JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 7.18 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang tiba di lokasi kira-kira tiga minit kemudian.
“Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Jalan Kilang Tebu, Jalan Kundur Seberang Nyonya. Ketika kerja pemadaman, bomba menemui mayat seorang lelaki di bawah longgokan sampah dalam bilik berkenaan dan kebakaran membabitkan 60 peratus kemusnahan,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Wan Mohd Hamizi berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu media melaporkan, mayat seorang lelaki ditemukan dengan kesan tetakan pada tangan dan muka serta dibakar di tingkat atas sebuah panggung wayang lama di Pekan Simpang Kuala. Identiti mangsa belum dikenal pasti, namun polis menahan seorang lelaki berusia 59 tahun untuk membantu siasatan.
Menurut polis, suspek dikesan berada sekitar bangunan dan semakan mendapati dia mempunyai beberapa rekod jenayah dan dadah sebelum ini. Polis turut menemukan pisau di bawah bangunan panggung wayang itu.
Polis juga percaya kejadian membabitkan lebih daripada seorang suspek, tetapi tiada kaitan dengan kumpulan samseng atau berkaitan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd