Kuala Lumpur: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menutup kempen 2024 dengan penuh gilang-gemilang apabila berjaya meraih tiga kejuaraan untuk mengumpul nilai keseluruhan sebanyak RM1,553,369 pada tahun ini.
Lebih membanggakan, Sze Fei-Izzuddin yang digandingkan semula sejak Mei 2023 itu berhasil mencipta beberapa sejarah tersendiri dalam karier mereka antaranya menjadi beregu lelaki pertama dari Malaysia melangkah ke final Jelajah Dunia Akhir sejak ia diperkenalkan pada 2018 dan muncul selaku pemenang pada kejohanan Super 1000, Terbuka China.
Sebagai makluman, ganjaran terbesar mereka adalah di pentas Jelajah Akhir Dunia apabila berjaya meraih hampir setengah juta iaitu RM 445,000 selain muncul juara di Terbuka Jepun (RM274,000), Terbuka China (RM622,000) dan Terbuka Artik (RM142,282.)
Selain itu, gandingan profesional negara itu juga berjaya melangkah ke pentas akhir dan menjadi naib juara pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2024 untuk membawa pulang RM70,087.
Mengulas lanjut mengenai aksi final di Jelajah Dunia Akhir semalam, Sze Fei melihat pilihan pertama dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen lebih konsisten dalam perlawanan itu sehingga menyukarkan dia dan Izzuddin untuk bermain seperti yang dirancang.
“Pada perlawanan akhir hari ini (semalam), kami tidak dapat menggunakan strategi yang tepat apabila pasangan Denmark itu berjaya melakukan rotasi yang sangat baik termasuk lebih bersabar dalam perlawanan ini.
“Tetapi secara jujurnya bagi saya, kami tidak menjangkakan untuk sampai ke final pun pada kejohanan ini tapi kami tetapi bersyukur (untuk pencapaian ini),” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pada perlawanan akhir itu, Sze Fei-Izzuddin tewas di set pertama tetapi bangkit di set kedua untuk mengheret perlawanan penentuan, namun Astrup-Rasmussen lebih gagah untuk menang 17-21, 21-17,11-21 dalam masa 65 minit.
Untuk rekod, pada Disember 2023 yang lalu, Sze Fei menetapkan sasaran untuk berada dalam kelompok 10 terbaik dunia tahun ini dan Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) itu akhirnya tercapai apabila ketika ini mereka berada dalam kedudukan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd