'DinFei' kempunan muncul juara Jelajah Dunia Akhir

'DinFei' kempunan muncul juara Jelajah Dunia Akhir

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terpaksa menerima hakikat mereka hanya bergelar naib juara apabila kecundang kepada wakil Denmark di pentas final Jelajah Dunia Akhir BWF, di Huangzhou, sebentar tadi.

Hadir dengan misi mahu mencipta kejutan, namun wakil negara tidak mampu untuk mengatasi kehebatan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen sebelum tewas 21-17,17-21 dan 11-21 dalam tempoh 65 minit.

Set pertama menyaksikan wakil negara yang berada di ranking kelapan dunia kerap melakukan kesilapan mudah apabila hantaranya bulu tangkis tersangkut di jaring sekali gus memberi kelebihan kepada wakil Denmark mengutip mata seterusnya memenangi perlawanan 17-21.

Sze Fei-Izzudin yang turut dikenali sebagai ‘DinFei’ bangkit pada set kedua dengan mempamerkan aksi lebih berdisplin sekali gus mengheret perlawanan ke perlawanan penentuan.

Namun, wakil negara dilihat sudah kepenatan apabila mula hilang arah sebaik lawan melepas mata ke-12 sebelum akur tewas 11-21.

Beregu lelaki negara itu turut mengikut jejak langkah pasangan campuran Malaysia Tang Jie-Ee Wei apabila membawa pulang AS$100,000 (RM445,298) selaku naib juara manakala wakil Denmark menerima ganjaran AS$210,000 (RM934,500) selepas memenangi perlawanan itu.

Mengikut rekod, Izzuddin-Sze Fei ketika ini menikmati perjalanan paling gemilang dalam kerjaya mereka selepas merangkul tiga gelaran Jelajah Dunia – Terbuka Jepun, Terbuka China dan Terbuka Artik musim ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top