Brighton: Enzo Maresca mengakui kekalahan Chelsea 0-3 di tangan Brighton adalah “prestasi terburuk” dalam era kendaliannya ketika penyerang Jepun, Kaoru Mitoma, menghasilkan satu gol yang berpotensi menjadi gol terbaik Liga Perdana awal pagi ini.
Pasukan Maresca gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke sasaran dalam kekalahan kedua mereka dalam tempoh tujuh hari di Stadium Amex.
Mitoma menjaringkan gol kemenangan ketika Brighton menyingkirkan Chelsea dari pusingan keempat Piala FA dengan kemenangan 2-1 pada hujung minggu lalu.
Dia sekali lagi menyeksa Blues dengan satu kemahiran menakjubkan pada separuh masa pertama sebelum pemain sayap Gambia, Yankuba Minteh, menjaringkan gol pada babak pertama dan kedua.
Maresca, dalam musim pertama beliau sebagai pengurus selepas tiba dari Leicester, berkata, minggu ini bahawa Chelsea “layak” berada dalam Liga Juara-Juara (UCL), dengan kelab meletakkan sasaran kepadanya untuk layak dalam tempoh dua tahun.
Namun, kekalahan ketiga Chelsea dalam empat perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan adalah satu lagi tamparan kepada harapan mereka untuk menamatkan saingan di kelompok empat teratas.
“Saya sentiasa rasa tekanan, bukan hanya sekarang, tetapi malam ini kita boleh katakan ia adalah prestasi terburuk sejak saya tiba.
“Dengan keputusan ini, kekecewaan amat di rasai dalam semua aspek. Kami benar-benar minta maaf kepada peminat yang datang ke sini,” kata Maresca.
Maresca perlu mencari penyelesaian kepada pertahanan Chelsea yang sering melakukan kesilapan jika Blues yang ketika ini berada di tempat keempat, dua mata di hadapan Manchester City dan Newcastle, ingin mencapai sasaran mereka musim ini.
“Apabila anda bermain permainan seperti ini, dalam situasi yang kami hadapi dan anda beraksi seperti yang kami lakukan malam ini, ada banyak perkara yang boleh anda lakukan dengan lebih baik.
“Ia bukan hanya dari segi mental ada banyak perkara yang perlu kami perbaiki.
“Tetapi kami masih berada di tempat keempat dan kami masih dalam persaingan untuk menamatkan dengan baik,” kata Maresca.
Brighton sebelum ini dibelasah 0-7 di Nottingham Forest dalam perlawanan liga sebelumnya, hanya memenangi dua daripada 12 perlawanan liga utama mereka yang lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd