Dilarang simpan haiwan dalam premis

Dilarang simpan haiwan dalam premis

Georgetown: Pemilik bangunan strata jenis kediaman dilarang menyimpan haiwan di dalam premis yang boleh menyebabkan kegusaran atau kacau ganggu mahupun bahaya kepada keselamatan dan kesihatan pemilik unit yang lain.

Pengarah Pesuruhjaya Bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Nurul Azian Noordin berkata, ketetapan itu berdasarkan Peraturan 14 (2), Jadual Ketiga, Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata 2015 membabitkan bangunan yang digunakan untuk tujuan kediaman atau tempat tinggal.

“Pemilik yang mengingkari sub perenggan 14 (1) undang-undang kecil tersebut hendaklah dalam masa tiga hari penerimaan suatu notis bertulis daripada perbadanan pengurusan untuk mengeluarkan haiwan tersebut daripada bangunan.

“Jika gagal berbuat demikian, perbadanan pengurusan boleh mengambil apa-apa tindakan dianggap perlu untuk mengeluarkan haiwan itu daripada bangunan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro (HM), semalam.

Beliau mengulas laporan HM semalam mengenai keluhan penduduk pangsapuri Puncak Erskine 88, Jalan Fettes di Tanjung Tokong mengenai gangguan dan ancaman anjing peliharaan penduduk.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, kes kacau ganggu membabitkan haiwan peliharaan berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pemilik haiwan boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang PBT sekiranya memelihara anjing tanpa lesen pemeliharaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top