Dilarang doa keampunan buat orang kafir, ucap RIP

Dilarang doa keampunan buat orang kafir, ucap RIP

BARU-BARU INI, tersebar rakaman video menunjukkan mantan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi hadir memberi penghormatan kepada mendiang pemimpin penganut Katolik, Paus Francis.

Bagaimanapun, perbuatannya mengangkat tangan dan berdoa ketika berada berhampiran dengan jenazah mendiang menjadi perbualan hangat orang ramai.

Persoalannya, apakah dibolehkan orang Islam untuk mendoakan orang bukan Islam? Apakah tatacara yang sepatutnya dilakukan Muslim apabila berhadapan dengan situasi kematian orang bukan Islam?

Pendakwah Ustaz Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali dengan PU Syed dalam hal ini tampil menegur mantan Presiden Indonesia itu.

PU SYED

PU SYED

Ujarnya, beliau kelihatan menadah tangan dan berdoa kepada ALLAH SWT namun tidak diketahui isi kandungan doa tersebut.

“Kalau dia berdoa minta keampunan kepada Paus, hukumnya tidak boleh dan dilarang dalam Islam kerana larangan ini ada disebut dalam ayat ke-113 surah at-Taubah.

“Berdasarkan ayat ini, kita dilarang mendoakan kepada orang-orang musyrikin termasuk mengucap Rest in peace (RIP) kepada orang kafir yang telah meninggal dunia,” katanya melalui video di TikToknya pada Ahad.

Menurutnya, RIP merupakan ucapan atau doa orang bukan Islam kepada orang yang telah mati dalam kalangan bukan Islam dan umat Islam dilarang untuk mengucapkannya kepada mereka.

UCAPAN Rest in peace atau RIP turut dilarang diucapkan umat Islam kepada orang bukan Islam.

UCAPAN Rest in peace atau RIP turut dilarang diucapkan umat Islam kepada orang bukan Islam.

“Cuma kita diajar untuk menghormati kematian mereka. Untuk menziarahi mereka tiada masalah, namun untuk menadah tangan berdoa kepada mereka adalah perbuatan yang dilarang dalam Islam.

“Ulama Fiqh bersepakat perbuatan memohon keampunan kepada orang bukan Islam yang telah meninggal dunia adalah dilarang. Ini kerana mereka tidak dikategorikan sebagai orang yang bersama dalam agama tauhid iaitu Islam.

“Tapi kalau orang bukan Islam atau orang kafir itu masih hidup, kita tidak dilarang untuk mendoakan hidayah kepada mereka,” hurainya panjang.

Pesannya lagi, umat Islam perlu kelas dan jangan menyamakan keadaan tersebut sama seperti kematian orang Islam.

“Jika tidak tahu, kena bertanya kepada para ulama yang ramai di luar sana,” nasihatnya.

USTAZ AZHAR

USTAZ AZHAR

Sementara itu, pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus turut menjelaskan, hukum orang Islam mendoakan keampunan atau keamanan kepada orang kafir yang telah mati dalam agamanya adalah haram walaupun orang kafir tersebut adalah kaum kerabatnya.

“Apa yang dibolehkan ialah mendoakan orang kafir yang masih hidup supaya diberi hidayah atau seumpamanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam artikelnya Al-Afkar #130: Hukum mengucapkan RIP kepada orang bukan Islam menjelaskan, mendoakan orang bukan Islam yang mati dalam keadaan syirik adalah tidak wajar dan perlu dielakkan.

“Namun begitu dalam kehidupan yang penuh dengan suasana manusia yang berbilang kaum, bangsa dan agama, Islam membenarkan penganutnya untuk mengucapkan takziah kepada ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan yang kematian orang terdekat tanpa mengira agama dan bangsa,” katanya.

MENDOAKAN keampunan dan keamanan buat orang bukan Islam adalah haram dan dilarang. Fot Canva

MENDOAKAN keampunan dan keamanan buat orang bukan Islam adalah haram dan dilarang. Fot Canva

Bahkan ujarnya, hukum mengucapkan takziah adalah sunnah menurut Syeikh al-Mawardi.

Imam Asy-Syafie dalam kitabnya turut menyatakan umat Islam dibolehkan mengucap takziah buat orang Islam yang ibu bapanya meninggal dalam keadaan bukan Islam dengan lafaz:

“Semoga ALLAH menambahkan ganjaran kepada kamu dan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.”

Ujarnya, ucapan untuk orang yang bukan Islam pula adalah seperti berikut: “Semoga ALLAH menggantikan yang lebih baik bagi kamu dan semoga bilangan kamu (semua) tidak berkurang.”

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, apa sahaja ucapan yang sesuai dan baik adalah dibolehkan kepada orang bukan Islam selagi mana dia tidak memusuhi agama Islam.

“Ini membuktikan bahawa Islam merupakan agama yang harmoni dan fleksibel dalam urusan keduniaan terhadap semua golongan tanpa mengira agama.” jelasnya.

Scroll to Top