Pelakon versatile, Ummi Nazeera semakin mendapat perhatian dek kerana mutu dan popularitinya dalam bidang lakonan.
Justeru, bakat dan komitmen yang ditunjukkan ibu anak dua itu sekaligus membuka peluang buatnya dan keluarga menjadi wajah utama bagi jenama barangan kemas terkenal, Habib, untuk koleksi Aidilfitri tahun ini.
Menurut Ummi, dia sangat teruja apabila mendapat tawaran daripada pihak jenama itu walaupun tawaran tersebut datang ketika dia sedang sibuk dengan penggambaran beberapa drama.
“Pihak Habib telah menghubungi saya semasa saya sedang menjalani penggambaran drama.
“Kami berbincang mengenai beberapa terma dan syarat, dan akhirnya dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.
“Alhamdulillah, akhirnya saya bersama suami dan anak sulung kami telah dilantik sebagai duta Rantaian Kasih 2025. Lebih menggembirakan, saya sangat teruja kerana mas kahwin saya juga dari Habib,” ulasnya.
Ummi berkata demikian ketika ditemui di majlis Rantaian Kasih Di Aidilfitri 2025 yang menampilkan koleksi terbaru barangan kemas Habib di EQ Kuala Lumpur, pada Rabu.
Mengangkat tema koleksi tahun ini yang berkisar tentang Wau, Ummi membuka peluang untuk anak sulungnya, Ayra Aneesah, terlibat sama menjadi wajah jenama itu.
Dia mengakui keputusan itu diambil demi memenuhi tema koleksi tersebut.
“Saya pastikan terlebih dahulu untuk mendapatkan persetujuan anak saya sebelum menerima tawaran ini.
“Saya mahu memastikan semuanya berjalan lancar dan sesuai untuk semua pihak.
“Saya jarang membenarkan anak saya terlibat dalam kempen seperti ini, tetapi memandangkan tema kali ini berkenaan kekeluargaan, saya setuju untuk menjadi sebahagian daripada Habib.
“Anak saya juga sangat menyukai barang kemas. Saya minta persetujuannya sebelum mengambil keputusan ini, dan alhamdulillah dia setuju.
“Walaupun dia teruja, dia tidak menunjukkan sangat,” katanya.
Ditanya mengenai pandangannya terhadap penglibatan anak-anak dalam industri seni, pelakon drama Teratak Kasih Salina yang bakal bersiaran di TV3 ini menjelaskan, dia lebih menekankan kepentingan pelajaran dan keseimbangan masa untuk puteri sulungnya itu.
“Anak sulung saya baru sahaja memulakan sekolah pada 17 Februari lalu, jadi saya sangat pentingkan keseimbangan masa untuknya.
“Jika ada tawaran pengiklanan atau seumpamanya, ia akan bergantung pada komitmen dan masa yang ada, tetapi pelajaran tetap menjadi keutamaan.
“Berbeza dengan adiknya, yang hanya dihantar ke play school, tiada masalah jika dia terlepas waktu sekolah,” jelasnya.