PASIR PUTEH: Seorang lelaki warga emas yang dalam perjalanan pulang dari masjid maut selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 7.5, Jalan Tebing Tinggi ke Tok Bali di sini hari ini.
Mangsa yang berusia 74 tahun maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dalam kejadian kira-kira pukul 2.28 petang itu.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati, semasa kejadian mangsa menunggang motosikal keluar dari Masjid As-Syakirin, Tok Bali melalui susur kiri jalan.
“Setiba di lokasi, warga emas itu dipercayai membelok dan membuat pusingan U ke arah kanan untuk menghala ke arah Pasir Puteh. Pada masa sama, sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun dari arah Pasir Puteh menghala ke Tok Bali telah merempuh bahagian sisi sebelah kanan motosikal ditunggang mangsa.
“Kemalangan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Zaizul Rizal memberitahu, pemandu kereta itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih dijalankan.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu boleh terus ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Sub Inspektor Jafri Alias di talian 019-938 6224.-UTUSAN