Dijangkiti HIV angkara suami

Dijangkiti HIV angkara suami

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang wanita terpaksa menanggung derita selepas dijangkiti HIV akibat perbuatan suaminya yang menjalinkan hubungan songsang.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Saadiah, 52, berkata, dia berkahwin pada 2000 dan mempunyai tiga cahaya mata berusia 25 hingga 20 tahun hasil perkahwinan itu.

“Saya mengetahui suami mempunyai HIV selepas terjumpa dokumen kesihatannya di awal perkahwinan kami yang mendorong saya membuat saringan sebelum disahkan menghidap penyakit sama.

“Apabila sedar saya mendapat jangkitan itu daripada suami, saya amat sedih dan menyalahkan dia sepenuhnya atas apa yang berlaku.

“Namun, saya membuat keputusan untuk kekal bersama suami kerana amat menyayanginya meskipun sedih sebab pernah dikhianati,” katanya ketika ditemui di Rumah Solehah, di sini, baru-baru ini.

Saadiah berkata, pada mulanya, suaminya enggan mengaku melakukan hubungan seks luar perkahwinan, namun dia akhirnya mendedahkan hal sebenar.

“Di awal perkenalan kami di tempat kerja, saya tidak pernah nampak petanda suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan menyukai lelaki.

“Saya hanya perasan dia mempunyai ramai kawan lelaki. Namun, ia sama sekali tidak mendorong saya untuk mengesyaki sesuatu yang pelik sebelum bersetuju berkahwin hanya selepas tiga bulan mengenalinya,” katanya yang memaklumkan suaminya meninggal dunia pada 2006.

Menurutnya, dia bersyukur apabila ketiga-tiga anaknya tidak dijangkiti HIV memandangkan dia dan suami mendapatkan rawatan dan mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan kepada mereka.

Sementara itu, seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Nadia, 23, berkata, gaya hidup bebasnya menyebabkan dia mendedahkan risiko menjangkiti HIV kepada orang lain.

“Saya menghidap HIV sejak dilahirkan akibat jangkitan daripada ibu. Sejak kecil lagi, saya terdedah dengan gaya hidup bebas ibu termasuk keluar masuk pusat perlindungan.

“Memasuki usia remaja, saya menjadi semakin liar apabila melakukan hubungan seks dengan ramai lelaki meskipun menyedari diri mempunyai HIV.

“Ada dalam kalangan lelaki yang saya tiduri tidak tahu saya ada HIV, namun ada juga antara mereka yang saya beritahu dan mereka tidak kisah dengan perkara itu,” katanya.

Nadia berkata, dia turut mengikuti jejak langkah ibunya yang keluar masuk ke pusat perlindungan disebabkan permasalahan dialaminya.

“Pada usia 16 tahun saya mengandung dan anak itu terpaksa diserahkan kepada orang lain kerana saya tidak mampu untuk menjaganya.

“Saya sekali lagi mengandung beberapa tahun kemudian dan anak itu juga diserahkan kepada orang lain atas alasan sama.

“Sepanjang tempoh saya sarat hamil dan berpantang, saya akan masuk ke pusat perlindungan dan akan keluar semula selepas selesai berpantang,” katanya.

Menurutnya, dia masuk semula ke Rumah Solehah pada November lalu selepas dijangkiti tibi (tuberkulosis) semasa bekerja di sebuah kilang di Lembah Klang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top