am@hmetro.com.my
Tanah Merah: “Keputusan cemerlang ini hadiah buat keluarga angkat yang selama ini banyak berkorban dan mendidik saya sehingga menjadi insan yang berjaya,” kata Puteri Nur Ain Zulaikha Abdullah, 18, yang memperoleh 9A bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, yang diumumkan semalam.
Menurut bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Chepa itu, hanya kecemerlangan dalam pelajaran saja yang mampu diberikan sebagai hadiah untuk menghargai pengorbanan keluarga angkat yang menjaganya sejak bayi.
Katanya, sejak dilahirkan sehingga kini dia sudah dijaga oleh empat keluarga angkat dan pada ketika ini tinggal bersama keluarga abang angkatnya, Mohamad Airul Roslam, 35, yang bekerja sebagai penjual ikan untuk menyara keluarga.
“Sebelum ini, saya tinggal bersama bapa angkat dan selepas dia meninggal dunia, saya dijaga pula oleh nenek angkat dan beberapa tahun selepas itu arwah nenek pula meninggal dunia.
“Saya kemudiannya dijaga oleh bapa saudara selama beberapa tahun sebelum hak penjagaan diambil alih oleh abang angkat memandangkan pada ketika itu bapa saudara mempunyai ramai tanggungan selain bukan dalam kalangan orang yang senang,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Penyerahan Bantuan Kepada Pelajar Cemerlang B40 di kediamannya di Perumahan Kusial Baru, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Pembangunan Mara Kelantan, Mohd Norwawi Ibrahim dan Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari.
Puteri Nur Ain Zulaikha berkata, bergelar anak angkat memberi keazaman kepadanya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh dan hanya pelajaran yang dapat mengubah nasib hidupnya suatu hari kelak.
“Terima kasih kepada semua ahli keluarga angkat kerana tidak jemu memberi sokongan selain guru yang banyak membantu ketika proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) di dalam kelas.
“Perancangan saya seterusnya ialah mahu menyambung pengajian di universiti sama ada dalam atau luar negara bagi mengejar cita-cita menjadi ahli fizik,” katanya.
Katanya, apabila sudah berjaya suatu hari nanti, dia akan membantu keluarga angkat yang pernah menolongnya sejak dari dulu sehinggalah sekarang.
Terdahulu Puteri Nur Ain Zulaikha berpeluang bercakap terus dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui panggilan telefon selama hampir 30 minit.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, pihak Mara bersetuju untuk menanggung sepenuhnya kos pengajian Puteri Nur Ain Zulaikha termasuk jika ditawarkan melanjutkan pelajaran di luar negara.
“Saya melihat semangat dan potensi besar yang ada pada Ain, justeru dengan keputusan cemerlang yang diperoleh, Mara sedia membantu merealisasikan impiannya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd