am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sebuah premis penternakan ayam di Kampung Ladang Batu, Tanjung Sepat, Kuala Langat dekat sini dikenakan tindakan sembilan Notis Kesalahan dan 22 Notis Pemberitahuan oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dalam satu operasi bersepadu semalam.
Yang Dipertua MPKL, Mohd Hasry Nor Mohd berkata, antara kesalahan yang dikenal pasti dan dikenakan notis adalah mengikut Seksyen 82(5), Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Kacauganggu Lalat), UUK3, Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian MDKL 2007 atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan berkaitan (Reban Ayam) tanpa lesen daripada MPKL.
Beliau berkata, selain itu tindakan turut diambil mengikut Seksyen 70 (13) (c), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 pula atas kesalahan mendirikan struktur bangunan (Reban Ayam) tanpa kelulusan MPKL (Menjalankan Aktiviti Ladang Penternakan Ayam Tanpa Lesen).
Selain itu, tindakan turut diambil di bawah Seksyen 19, Akta 172 atas kesalahan mendirikan bangunan tanpa kelulusan kebenaran merancang selepas didapati tidak mematuhi syarat-syarat ditetapkan bagi menjalankan perusahaan ternakan ladang reban ayam.
“MPKL mengambil tindakan tegas dengan memasang tali halangan di pintu masuk terhadap tiga premis berdasarkan Seksyen 101(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan arahan tindakan pembersihan diberikan dalam tempoh 21 hari turut dikenakan.
“Pengusaha ladang ternakan reban ayam tidak dibenarkan membawa masuk bekalan ayam baru dengan pemantauan lanjut bagi memastikan pematuhan arahan akan dilaksanakan dalam tempoh ini,” katanya hari ini.
Mohd Hasry berkata, melalui operasi itu juga sebanyak tiga Notis Arahan mengikut Seksyen 8 Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 daripada Pejabat Kesihatan Daerah turut dikeluarkan.
“Notis itu diberikan kepada tiga premis yang tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan oleh Pejabat Kesihatan.
“Notis arahan itu mengarahkan premis agar mengelakkan bahagian-bahagian jentera-jentera, besi-besi buruk, pembancuh simen, perkakas tandas, kenderaan rosak dan lain-lain dari menakung air.
“Premis perlu menyediakan jadual pembersihan, kawalan maggot (racun digunakan), kawalan lalat (racun digunakan), pungutan najis berjadual dan menyediakan laporan dan bukti tindakan,” katanya.
Beliau berkata, MPKL mengambil maklum laporan berita oleh NSTP dan meneruskan aktiviti pemantauan dan kawalan vektor di kawasan itu.
“Untuk rekod, MPKL menjalankan sebanyak empat siri turun tapak yang meliputi pemantauan serta semburan racun lalat di sekitar kawasan yang menjalankan aktiviti reban ayam dan rumah penduduk.
“Tahun lalu, sebanyak tiga aktiviti semburan racun lalat dilaksanakan menggunakan ULV (Aqua Resigen) dan Spray Can (Cislin) dan pada awal Januari 2025 semburan racun lalat jenis ULV (Aqua Resigen) dibuat bagi meredakan masalah kacau ganggu vektor lalat itu.
“Kita giat menyelesaikan masalah itu sejak tahun lalu dengan memanggil semua pihak terutama pengusaha reban ayam, memberikan taklimat serta tunjuk ajar kaedah menguruskan reban dan penggunaan racun lalat yang berkesan kepada mereka.
“Semua pengusaha ternakan reban ayam turut dipantau melalui beberapa siri turun lawat periksa, perbincangan di peringkat mukim dan Seminar Pengawalan Lalat dan Pencemaran Ladang Unggas bagi menambah baik pengurusan dan mengikut SOP sepatutnya untuk mengurangkan lalat namun sehingga kini masih belum menampakkan pengurangan gangguan lalat di kawasan itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd