Digelar ‘mini’ Mira Filzah, ramai puji kecomelan Amir – “Upload banyak2 lagi”

Digelar ‘mini’ Mira Filzah, ramai puji kecomelan Amir – “Upload banyak2 lagi”

Tindakan pelakon dan pengacara, Mira Filzah berkongsi foto bersama anak lelakinya Wan Khair Amir dihujani dengan pujian dalam kalangan pengikut di laman Instagram.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman memuat naik beberapa foto rawak termasuk ketika mendukung cahaya mata berusia lima bulan itu yang dilihat tersenyum ceria.

Menerusi pemerhatian di ruangan komen, ramai peminat pelakon drama Bidadari Kiriman Tuhan itu memberikan pelbagai reaksi positif dengan meluahkan rasa ‘geram’ apabila melihat kecomelan Amir.

Rata-rata warganet turut mengatakan bahawa wajah bayi itu seiras ibunya sehingga digelar sebagai ‘Mira junior’ atau ‘Mini Mira’.

Untuk rekod, Mira dan suaminya Wan Emir Astar mendirikan rumah tangga pada 3 September 2020 dan dikurniakan putera kesayangan mereka itu pada 10 Mei lalu.

Selepas lima bulan, pasangan itu akhirnya mendedahkan wajah Amir menerusi sebuah foto mereka  keluarga pada 2 Oktober lalu.

Difahamkan, Mira dan suami turut mencipta akaun peribadi untuk anak mereka yang kini sudah mempunyai seramai 73,700 pengikut di Instagram.

 

Sumber: Instagram Mira Filzah