Kuantan: Kepesatan penyebaran pelbagai maklumat ketika ini menuntut ibu bapa memainkan peranan sangat penting dalam mendidik anak-anak untuk lebih bijak menilai serta membezakan kesahihan berita diterima, khususnya dengan kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Isteri Perdana Menteri yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kemajuan teknologi tidak dinafikan membawa kebaikan kepada pembangunan sosioekonomi sejagat namun pada masa sama turut mendedahkan semua berdepan dengan pelbagai cabaran semasa.
“Kebanyakan daripada kita ialah ibu bapa atau penjaga yang bertanggungjawab mendidik dan mengasuh anak-anak. Kita harus didik anak-anak supaya dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk.
“Mereka (anak-anak) mestilah pandai mencari maklumat supaya dapat memastikan perkara yang betul dan sahih serta membezakan maklumat yang palsu dan tidak benar,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan isteri Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian pada majlis Sambutan Hari Peringatan Sedunia (WTD) Peringkat Kebangsaan 2025 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini hari ini.
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Pahang berkenan berangkat menyempurnakan perasmian majlis berkenaan.
Hampir 1,500 ahli PPPM daripada 16 kontinjen seluruh negara menghadiri sambutan yang bertemakan ‘Our Story’.
Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata kepesatan teknologi seperti AI, deepfake (palsu asli), Internet benda (IoT) dan sebagainya, menuntut keperluan sangat penting untuk masyarakat membuat semakan terlebih dahulu dan bukannya mempercayai dengan begitu cepat sesuatu maklumat diterima.
“Selain itu, didiklah diri kita dan anak-anak untuk mengamalkan nilai-nilai ketimuran dan adab susila sebagai rakyat Malaysia yang bersopan santun, tidak kira dalam kehidupan sehari-hari mahupun di media sosial.
“Patik masih baharu dalam Pandu Puteri namun patik melihat ada banyak potensi, ada banyak nilai-nilai positif yang boleh diangkat sebagai tunjang kekuatan Pandu Puteri. Patik berpendapat nilai-nilai positif ini mestilah diwarisikan kepada generasi muda yang menerajui Pandu Puteri pada masa akan datang,” katanya.
Menyentuh mengenai sambutan WTD, beliau berkata tema ‘Our Story’ dipilih kerana ia membawa maksud untuk melihat kembali kejayaan PPPM dalam melaksanakan pelbagai program bermanfaat dan berimpak tinggi, hasil kerjasama erat dan usaha setiap ahli.
“Saya percaya, setiap program dan aktiviti yang telah dilaksanakan sedikit sebanyak semestinya membawa perubahan positif dan peningkatan gaya hidup yang lebih harmoni dan seimbang buat semua,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd