Didenda RM4,000 kerana jual halia masin ada pemanis tanpa zat yang tidak dibenarkan

Didenda RM4,000 kerana jual halia masin ada pemanis tanpa zat yang tidak dibenarkan

am@hmetro.com.my

Seremban: Pengimport makanan didenda RM4,000 kerana menjual halia masin mengandungi pemanis tanpa zat yang tidak dibenarkan dalam makanan, hari ini.

Tertuduh berusia 43 tahun sebelum itu mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah dalam prosiding yang dijalankan di Mahkamah Khas Trafik.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menjual halia masin yang mengandungi cyclamate sebanyak 18,054 miligram/kilogram pemanis tanpa zat yang tidak dibenarkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Seremban pada 3 September tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 13B (1) Akta Makanan 1983 yang dibaca bersama Seksyen 13B (2) (d) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut sub seksyen 13B(4) akta sama dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, dua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dari Pejabat Kesihatan Seremban membeli tiga paket halia masin dengan berat 500 gram setiap paket.

Halia masin itu kemudian dihantar bagi ujian analisis makanan di Makmal Kesihatan Awam di Ipoh sebelum disahkan mengandungi pemanis tanpa zat yang tidak dibenarkan.

Pendakwaan dikendalikan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Vivig Dinesh A/L Vigane Swaran dan Mohd Yusri Mohd@Yusof, manakala tertuduh diwakili peguam Kwan Wei Chian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top