Didakwa ‘Seronok’ Hasilkan Content Berunsur Songsang, Ini Respons Imran Bard: “Saya Minta Maaf, Tuduhan Itu Sangat Berat!”

Didakwa ‘Seronok’ Hasilkan Content Berunsur Songsang, Ini Respons Imran Bard: “Saya Minta Maaf, Tuduhan Itu Sangat Berat!”

Pempengaruh media sosial, Imran Bard meluahkan rasa kesal selepas video pendek yang dihasilkannya baru-baru ini menerima respons kurang enak dalam kalangan netizen.

Malah, kandungan memasak yang disifatkan menormalisasikan budaya songsang atau LGBT itu turut diklasifikasikan sebagai sampah dan merepek.

Justeru, tidak mahu terus menerus menerima kecaman, Imran akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka sekaligus mengaku kesal dengan tindakannya yang tidak menjaga sensitiviti dan adat Melayu.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak yang tersinggung dengan kandungan yang saya kongsikan baru-baru ini.

“Tuduhan bahawa saya menormalisasikan isu LGBT adalah sesuatu yang berat.  Saya akui kesilapan kerana menghasilkan kandungan tersebut berdasarkan rujukan barat tanpa mempertimbangkan sensitiviti serta adat dan budaya Melayu pada ketika itu.

“Saya amat kesal jika perkara ini mengecewakan mana-mana pihak,” katanya.

Perkara itu dikongsi Imran menerusi muat naik di platform X miliknya.

Menerusi hantaran sama, Imran juga sedia menerima teguran dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang.

“Saya mengambil maklum setiap teguran yang diberikan dan akan berusaha untuk lebih peka serta bertanggungjawab menghasilkan kandungan pada masa akan datang,” jelasnya.