Pengurus kepada pelawak sensasi Harith Iskander, Dr Jezamine Lim mendedahkan ugutan bunuh menjadi punca pembatalan persembahan komedi berdiri DFP Punchline: Harith Iskander 35 Year Of Laughter.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Jezamine yang juga merupakan bekas isteri kepada Harith memaklumkan ugutan bunuh itu turut membabitkan keselamatan tiga anak mereka.
“Saya dah Harith amat kecewa dengan pembatalan persembahan ini. Namun, selepas berbincang, ia adalah keputusan terbaik.
“Perbuatan mengugut anak-anak kami yang tidak bersalah adalah keji, pengecut dan tidak berperikemanusiaan. Laporan polis sudah dibuat dan siasatan akan dijalankan. Saya tidak akan mengulas mengenai perkara ini,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Jezamine berkata keputusan yang dilakukan itu bukanlah satu perkara yang mudah, memandangkan Harith telah berhempas pulas membuat persiapan bagi persembahan yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur.
“Harith sudah bekerja keras berbulan-bulan untuk persembahan ini. Apabila ia terpaksa dibatalkan, tentunya ia sangat menyedihkan,” katanya.
Pada 20 Januari, selebriti Shahrol Azizie Azmi, atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro, telah membuat laporan polis berkaitan hantaran media sosial Harith. Dalam laporan yang turut dikongsi di Facebook, Shahrol turut membuat aduan terhadap seorang individu bernama Cecelia Yap Song KL, mendakwa bahawa hantaran dan komen tersebut menghina Islam serta mempermainkan nama Nabi Muhammad.
Kontroversi ini bermula apabila Harith, dalam satu hantaran di Facebook, secara berseloroh menyatakan ‘iman tergugat’ kerana mempertimbangkan untuk mencuba ‘Ham Sap Kopi’. Kenyataan itu dibuat di tengah isu sandwich ‘ham & cheese’ yang didakwa tidak mempunyai sijil halal dan dijual di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya.
Artikel Berkaitan: Shahrol Shiro Buat Laporan Polis Ke Atas Harith Iskander, Didakwa Persendakan Agama – “Sangat Biadap!”