Didakwa buat tuntutan palsu khemah 'ghaib'

Didakwa buat tuntutan palsu khemah 'ghaib'

am@hmetro.com.my

Melaka: Bekas pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Melaka dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini, tadi, atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu pembekalan khemah utama yang tidak wujud bernilai RM24,000 bagi program anjuran kementerian itu, dua tahun lalu.

Tertuduh, Yeow Chin Chai, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus pertuduhan berkenaan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan invois atas nama Shahz Titah Bumi Enterprise bertarikh 18 September 2023 berkenaan pembekalan khemah utama berjumlah RM24,000 bagi Program Mount Ophir Ultra Trail Melaka Tahun 2023.

Walhal tiada sebarang pembekalan khemah utama dilakukan oleh Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri Melaka dan kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat itu antara 18 September hingga 10 Oktober 2023.

Chin Chai didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butiran palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari dan Fatin Nur Athirah Zainudin menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin kerana kesalahan serius berserta syarat melaporkan diri di pejabat SPRM Melaka sebulan sekali dan pasport diserah kepada mahkamah.

Namun, Peguam Mohd Fadly Hashim memohon jaminan yang munasabah diberikan kerana tertuduh yang bekerja di bahagian dasar Gred 48, menanggung empat anak serta ibu bapa yang menghidap penyakit darah tinggi, kolestrol dan jantung memerlukan rawatan di hospital kerajaan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top